Islam tidak galak budaya mengemis

Islam tidak galak budaya mengemis

UMAT yang bertamadun perlu menyahaktif budaya mengemis dan mentaliti meminta-minta di dalam diri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

Jika ditelusuri dalil-dalil al-Quran dan hadis, kita digalakkan untuk berlumba-lumba melakukan kebaikan dan berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan.

Orang-orang yang beriman diseru agar membelanjakan sebahagian daripada hasil usaha untuk dikongsi dengan mereka yang berhak dan memerlukan.

Di sisi lain, Islam tidak menggalakkan budaya meminta-minta atau mengemis, sebaliknya menggalakkan umatnya bekerja keras mencari rezeki serta hidup secara bermaruah dengan memiliki harta selain membelanjakannya untuk keperluan diri, keluarga, masyarakat serta negara.

Lembaran sejarah Islam telah memaparkan kegigihan para Nabi dan Rasul bekerja membanting tulang mencari rezeki serta menunjukkan contoh teladan kepada para pengikut. Contohnya Nabi Muhammad, seorang penggembala kambing dan ahli perniagaan, Nabi Daud merupakan pereka baju besi dan tukang besi, Nabi Nuh pula pereka kapal dan tukang kayu sementara Nabi Ibrahim adalah tukang pahat. Mereka semua mengamalkan kepimpinan melalui teladan. Justeru, masyarakat Islam perlu rajin bekerja dan mencontohi para nabi dan Rasul yang mulia.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya pada Rasulullah uswah (teladan/idola/inspirasi) hasanah (yang baik) bagi sesiapa yang mengharapkan Allah dan hari akhirat dan banyak berzikir kepada Allah (Surah al-Ahzab: 21).
Kesimpulannya, masyarakat Islam madani perlu mempunyai ciri-ciri rajin bekerja, berusaha gigih serta dedikasi dalam melaksanakan apa yang diusahakan serta bercita-cita untuk menjadi kaya agar dapat bersedekah dan mengejar pahala yang dijanjikan oleh Allah SWT.

Umat yang bertamadun perlu menyahaktif budaya mengemis dan mentaliti meminta-minta di dalam diri.-UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. AIZAN ALI@MAT ZIN
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN