Harap tiada lagi isu kualiti makanan pada tahun depan

Harap tiada lagi isu kualiti makanan pada tahun depan

SELAIN pemantauan kawalan harga di bazar, pemerhatian juga perlu melibatkan kualiti makanan yang dijual. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

Menerusi pemerhatian di TikTok, ramai meluahkan kekecewaan terhadap kualiti makanan yang dijual di bazar Ramadan. Ramai yang ‘membongkar’ taktik sesetengah peniaga meraih untung berlebihan.

Karipap berinti oksigen, martabak hangus, tauhu ‘tak jadi sumbat’, kuih ketayap liat dan tepung pelita dibungkus dengan bekas plastik antara perkongsian pengguna di laman tersebut.

Menjenguk ke ruangan komen, ramai pengguna turut meluahkan perasaan kecewa dengan tindakan perniaga yang seolah-olah tidak mempedulikan kualiti makanan yang dijual kepada pembeli.

Malah ramai juga menyuarakan tentang isu ‘scam’ dan makanan basi di bazar Ramadan berlaku setiap tahun dan tiada tindakan tegas daripada pihak berwajib.

Persoalannya sampai bila mahu membiarkan peniaga mengaut keuntungan dengan cara yang tidak sepatutnya?

Sepatutnya, selain pemantauan kawalan harga di bazar, pemerhatian juga perlu melibatkan kualiti makanan yang dijual.

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan harus meninjau gerai-gerai di bazar bagi memastikan tiada lagi peniaga yang mengaut keuntungan dan pada masa yang sama mengancam kesihatan pembeli.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri pernah berpesan supaya peniaga sentiasa menjauhi jual beli tanpa keredaan kedua-dua belah pihak yang jauh daripada konsep Islam sebenar.

Inisiatif program Jadikan Ramadan Tanpa Pembaziran anjuran pertubuhan What a Waste (WaW) dalam mengumpulkan lebihan makanan dan diagihkan kepada golongan yang memerlukan juga boleh diperluas ke seluruh negara.

Diharap pada tahun-tahun mendatang, isu kualiti makanan di bazar Ramadan tidak berulang dengan wujudnya kesedaran sivik dalam diri peniaga terutama ketika umat Islam mengejar berkat di bulan penuh kemuliaan ini.

Pihak pembeli juga harus memainkan peranan penting dengan melaporkan kepada pihak berwajib sekiranya berlaku isu melibatkan kualiti makanan secara telus bagi mengelakkan lebih ramai yang menjadi mangsa.-UTUSAN

NOEL ENTILI
Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN