Polis Pahang sahkan terima laporan pelajar IPTA dakwa ditampar ahli politik - Utusan Malaysia

Polis Pahang sahkan terima laporan pelajar IPTA dakwa ditampar ahli politik

YAHAYA OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Polis mengesahkan menerima laporan berhubung dakwaan seorang pelajar sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) ditampar seorang ahli politik ketika menghadiri satu program di Janda Baik di sini bulan lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, laporan berhubung kejadian itu diterima oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong pada 30 Mei lalu kira-kira pukul 12.11 tengah hari.

Menurutnya, kejadian itu didakwa berlaku pada 20 Mei lalu kira-kira pukul 6 petang dalam Dewan Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU), Kampung Janda Baik ketika berlangsungnya Program Pemerkasaan Bangsa 2.0 yang dianjurkan oleh pihak institusi berkenaan.

“Pengadu merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia 23 tahun. Hasil siasatan awal mendapati seorang lelaki warga tempatan berusia 62 tahun yang merupakan seorang ahli politik telah menampar pipi kiri mangsa di hadapan beberapa individu yang turut berada di lokasi kejadian,” katanya di sini hari ini.

Menurut Yahaya, pelajar itu membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati dengan tindakan yang dilakukan terhadapnya, mangsa tidak mengalami kecederaan serius dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, pada 1 Jun lalu kira-kira pukul 7 malam, polis turut menerima laporan daripada ahli politik terbabit berhubung kejadian tersebut.

“Polis sudah merakam percakapan mangsa dan suspek serta akan merakam keterangan beberapa saksi bagi melengkapkan siasatan. Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan kerana siasatan terperinci sedang dijalankan berhubung kes tersebut.

Terdahulu, seorang mahasiswa yang juga cucu kepada Allahyarham Nik Abdul Aziz membuat laporan polis selepas mendakwa ditampar oleh seorang senator ketika menghadiri satu program di Janda Baik, Pahang pada 20 Mei lalu. Pelajar tersebut membuat laporan berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada Sabtu lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN