SAUDARA PENGARANG,
UMAT Islam kini berada di fasa 10 malam terakhir Ramadan. Secara lazimnya, semua penganut agama Islam di seluruh dunia akan melipat gandakan amal kebajikan seperti bersedekah kepada orang ramai, membayar zakat serta menunaikan solat tarawih secara berjemaah di masjid di samping menahan lapar dan dahaga.
Pesta ibadah di 10 malam terakhir perlu disuburkan dengan memenuhi rumah Allah dalam melaksanakan solat berjemaah
di masjid. Walaupun solat tarawih secara berjemaah hanya terdapat di bulan Ramadan, namun tuntutan solat fardu secara berjemaah lebih dituntut dan perlu dilazimi bagi meneruskan momentum di bulan-bulan lain.
Selain itu, kita perlu bijak mengatur waktu tidur yang betul. Maraton rancangan televisyen ataupun wayang menerusi kotak set atas yang berasaskan kabel, internet atau satelit sehingga larut malam perlu kita hentikan. Ini bagi melatih badan kita untuk bersedia bangun awal dan menunaikan amal ibadah seperti solat sunat dan membaca al-Quran.
Begitu juga halnya dengan penglibatan kita menerusi perniagaan secara atas talian. Sama ada kita pembeli mahupun penjual, berpadalah dalam menguruskan waktu ketika bertransaksi. Tidak salah untuk terlibat dalam transaksi jual beli, namun uruslah masa dengan betul ketika kita berada dalam 10 malam terakhir Ramadan.
Sewajarnya kehadiran 10 malam terakhir di bulan Ramadan disambut dengan meriah. Banyak lagi cara dan kaedah untuk menghidupkan suasana di malam terakhir Ramadan ini. Rebutlah pelbagai amalan kerana ia mungkin Ramadan terakhir dalam hidup kita. – UTUSAN
DR. MUHAMMAD HAFIZ BADARULZAMAN
Pengerusi Program,
Ijazah Sarjana Muda Falsafah,
Undang-Undang dan Perniagaan (BPLB)
Pusat Pengajian Undang-Undang
Universiti Utara Malaysia (UUM)










