Benarkah healing atau sebenarnya hilang?

Benarkah healing atau sebenarnya hilang?

MELAKUKAN aktiviti healing tidak salah selagi tidak bercanggah dengan syariat Islam. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

Perkataan healing kini tidak lagi menjadi asing dalam masyarakat terutamanya golongan remaja. Ia membawa maksud menyembuhkan atau perihal yang membawa kepada penyembuhan atau pemulihan.
Dengan kemajuan multimedia, perkataan healing sudah tentu menjadi trend terutamanya kepada para remaja. Ramai dalam kalangan mereka suka menampilkan gambar atau video di suatu tempat seperti kelab, konsert dan sebagainya beserta kapsyen healing.

Adakah situasi tersebut benar-benar boleh diertikan sebagai healing, ataupun sebenarnya mereka sudah ‘hilang’?
Dari sudut mental pula, terdapat pelbagai cara yang boleh dijadikan sebagai proses healing. Antaranya ialah dengan cara bersosial yang sihat, melakukan aktiviti dan sebagainya. Namun terdapat sekelompok masyarakat yang melakukan aktiviti yang bercanggah dengan syariat Islam seperti tidak berakhlak baik, mengambil minuman keras, mengambil dadah, bersosial yang melampaui batas sehingga berlakunya zina dan sebagainya.

Islam sangat menekankan unsur usaha dalam menyembuhkan sesuatu penyakit, dan tentunya termasuklah dengan healing, tetapi perlulah dengan cara dan kaedah yang betul dan mengikut syariat yang telah ditentukan.

Seseorang itu tidak boleh untuk melakukannya dengan perkara yang tidak membawa manfaat dan bertentangan dengan syariat. Lebih buruk, perlakuan ini sebenarnya menjadikan mereka semakin tidak keruan dan dijauhkan dari ketenangan yang dicari.

Islam sebenarnya telah pun mengajarkan kepada kita pelbagai kaedah untuk healing dan menenangkan fikiran. Antaranya ialah dengan mendirikan solat dengan khusyuk dan dengan penuh kesedaran dilakukan hanya semata-mata untuk Allah. Dengan cara ini juga, intipati hubungan antara hamba dan Penciptanya dapat dicapai melalui tiga elemen penting iaitu spiritual, mental dan fizikal, dan akhirnya melahirkan kedamaian dan ketenangan sebenar di dalam diri.

Islam menggalakkan pendekatan holistik dalam penyembuhan yang merangkumi aspek rohani dan jasmani.

Oleh itu, dalam usaha kita untuk mencapai tahap kesihatan yang baik, jangan sampai kita healing yang akhirnya menjadikan kita ‘hilang’. – UTUSAN

AMIR SYAZWAN ABDUL SAMAD dan DR. SHARIFAH BASIRAH SYED MUHSIN
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×