Autisme perlu kesedaran lebih baik

Autisme perlu kesedaran lebih baik

DATA menunjukkan peningkatan yang ketara dengan 589 kanak-kanak didiagnosis autisme pada 2021 berbanding hanya 99 orang pada 2010. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

GANGGUAN spektrum autisme (ASD) atau autisme, sering disalah erti dan disalah anggap sebagai gangguan pembelajaran. Sebaliknya, ia adalah kecacatan perkembangan saraf dan pada tahun ini, Hari Kesedaran Autisme Sedunia bertemakan “Beralih dari Bertahan Ke Berkembang: Kesedaran, Penerimaan, Penghargaan”.

Data menunjukkan peningkatan yang ketara dengan 589 kanak-kanak didiagnosis pada 2021 berbanding hanya 99 orang pada 2010. Autisme boleh didiagnosis seawal usia 18 bulan. Intervensi awal penting dan lazimnya saya akan menasihati ibu bapa untuk berjumpa doktor jika mereka menyedari anak mereka terlepas sebarang peristiwa penting dalam perkembangannya. Janji temu berkala kanak-kanak untuk imunisasi berjadual mereka adalah peluang yang baik untuk ibu bapa berbincang dengan doktor tentang perkara ini.

Autisme boleh disaring menggunakan Senarai Semak Autisme Di Kalangan Kanak-kanak yang Disemak Semula (M-CHAT) seawal usia 18 bulan dan hanya boleh didiagnosis secara peribadi oleh profesional penjagaan kesihatan yang berkelayakan dengan menggunakan penilaian perkembangan formal. Ini mungkin diikuti dengan ujian tambahan untuk menolak kemungkinan punca-punca lain, seperti gangguan genetik tertentu atau keadaan neurologi.

Pendekatan Pembelajaran Mengikut Kesesuaian
Ibu bapa perlu lebih terlibat dengan pendidikan anak mereka dan bekerjasama rapat dengan guru serta ahli terapi. Sebagai contoh, sesi tetap dengan ahli terapi boleh membantu kanak-kanak belajar cara berkomunikasi dengan lebih berkesan dan menyesuaikan diri dengan situasi yang berbeza. Guru juga perlu sedar tentang apakah pencetus kanak-kanak dan membangunkan pelan pendidikan peribadi. Bagi kanak-kanak yang ASD teruk, sekolah khusus mungkin lebih sesuai untuk keperluan mereka.

Teknologi dan Pembelajaran
Pertimbangkan kaedah tambahan untuk menyokong pembelajaran mereka, seperti penggunaan alat dan aplikasi digital, yang banyak tersedia. Ini mungkin percuma untuk digunakan, seperti JABtalk dan Card Talk atau paywall iaitu laman sesawang atau teknologi lain yang memerlukan pembayaran dari pengguna untuk mengakses konten atau perkhidmatan tambahan seperti Proloquo2Go.

Ibu bapa disyorkan membincangkan penggunaan aplikasi-aplikasi tersebut dengan ahli terapi anak mereka untuk melihat sama ada aplikasi atau permainan yang berkenaan dapat membantu memenuhi matlamat pembelajaran dan perkembangan bagi tahap umur atau peringkat perkembangan mereka.

Perkara lain yang perlu dipertimbangkan ialah jumlah masa skrin, menghabiskan berjam-jam bermain, sama seperti kanak-kanak lain. Jadi, saya menasihati supaya orang dewasa perlu memantau, menetapkan sempadan yang jelas dalam mengurus jangkaan kanak-kanak dan mengurangkan tentangan.

Beberapa alat pendidikan dalam talian juga boleh membantu ibu bapa juga seperti Latihan Kemahiran Penjaga ePembelajaran WHO untuk Keluarga Kanak-kanak dengan Lewat atau Kurang Upaya Perkembangan yang disediakan secara percuma.

Bagi kanak-kanak dengan ASD, pendidikan merangkumi lebih daripada pembelajaran akademik semata-mata. Interaksi dan permainan berkumpulan adalah penting untuk mengasah kemahiran sosial mereka, diiringi aktiviti harian di rumah yang boleh menjadi peluang pembelajaran kepada mereka.

Terapi akan membantu kanak-kanak dan ibu bapa mereka ketika melalui pelbagai peringkat perkembangan, memberikan kemahiran hidup asas seperti penjagaan diri, membuat keputusan, komunikasi dan kemahiran lain supaya mereka boleh menjadi lebih berdikari dan menjalani kehidupan yang memuaskan apabila mereka meningkat usia. – UTUSAN

DR. CHOW SUET YIN
Pakar kesihatan keluarga

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN