Amaran awal laporan kredit selamatkan perniagaan

Amaran awal laporan kredit selamatkan perniagaan

MASYARAKAT wajar memahami bahawa manfaat daripada laporan agensi pelaporan kredit menjangkau aspek pemberian pinjaman dan urusan perniagaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA terbaca tentang kes mahkamah baru-baru ini yang melibatkan sebuah agensi pelaporan kredit, yang mana keputusan mahkamah tidak berpihak kepada agensi berkenaan sekali gus menerima pelbagai kritikan.

Realitinya, agensi pelaporan kredit memainkan peranan penting dalam menggalakkan ketelusan dan akauntabiliti kewangan. Melalui skor dan laporan kredit, agensi pelaporan secara langsung memberi kuasa kepada individu dan perniagaan membuat keputusan kewangan yang berinformasi.

Laporan agensi pelaporan amat penting bagi institusi pinjaman menilai kelayakan kredit peminjam, memudahkan amalan pemberian pinjaman yang bertanggungjawab dan mengurangkan risiko keingkaran.

Laporan kredit juga penting bagi ahli perniagaan dalam menilai rakan kongsi, vendor dan pelanggan. Ia dapat membantu perniagaan dan individu menilai tahap ‘kesihatan’ kewangan dan kestabilan rakan kongsi, di samping mengurangkan risiko dan melindungi kepentingan perniagaan mereka.

Perlu diingatkan bahawa skor kredit yang rendah berpunca dari pelbagai faktor seperti kekerapan lewat bayaran, hutang yang tinggi, kebankrapan, atau sejarah keingkaran pinjaman.

Masyarakat wajar memahami bahawa manfaat daripada laporan agensi pelaporan kredit menjangkau aspek pemberian pinjaman dan urusan perniagaan. Agensi ini juga menyumbang kepada kecekapan keseluruhan sistem kewangan dengan memberi penekanan kepada ketelusan dan akauntabiliti. Melalui penilaian objektif kelayakan kredit, agensi-agensi ini dapat memupuk dan memperkukuhkan kepercayaan dan keyakinan dalam ekosistem kewangan, di samping menyumbang kepada urusan kewangan yang lebih lancar sekali gus menyuburkan pertumbuhan ekonomi.

Malah, laporan kredit juga memainkan peranan penting dalam memerangi penipuan dan jenayah kewangan. Sebagai ‘amaran awal’ terhadap aktiviti yang mencurigakan dan ketidakteraturan sejarah kredit, laporan ini membantu mengenalpasti risiko dan menghindar penipuan. Ini bukan sahaja melindungi pemberi pinjaman, perniagaan dan individu daripada kerugian kewangan, malah dapat melindungi integriti sistem kewangan secara keseluruhan.

Daripada menyalahkan agensi-agensi ini, bukankah lebih baik kita menganggap laporan kredit mereka sebagai ‘amaran awal’. Di samping itu masyarakat juga perlu mengutamakan disiplin kewangan dan akauntabiliti persendirian agar dapat memperbaiki status kredit dan kewangan masing-masing.-UTUSAN

NAZRI MI
Sri Hartamas, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN