PETALING JAYA: AME Real Estate Investment Trust (AME REIT) memulakan pengambilalihan pihak ketiga sulungnya menerusi pembelian tiga plot tanah industri pegangan bebas bernilai RM50.2 juta di i-Park @ Senai Airport City (i-Park@SAC).
Pengambilalihan seluas 3.59 hektar itu dimeterai menerusi Perjanjian Jual dan Beli oleh RHB Trustees Berhad bagi pihak AME REIT, sekali gus menandakan pengambilalihan pihak ketiga pertama REIT berkenaan sejak disenaraikan.
Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Eksekutif I REIT Managers Sdn. Bhd., Chan Wai Leo berkata, cadangan pengambilalihan itu merupakan pencapaian penting menerusi transaksi pihak ketiga pertama dan inisiatif bina untuk disewa sulung sejak melepasi nilai aset RM1.0 bilion.
“Strategi ini membolehkan kami mencipta aset industri yang semakin dituntut pasaran secara proaktif, berbanding bersaing untuk aset siap dalam persekitaran di mana hasil pengambilalihan kekal terimpit.
“Dengan pelaburan di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang memacu permintaan terhadap ruang industri utama, mengamankan lokasi pegangan bebas strategik ini membolehkan kami menangkap peluang berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Pengambilalihan tersebut memperkukuh keberadaan AME REIT di hab industri strategik berkenaan, di mana hartanah i-Park@SAC kini merangkumi 48.6 peratus daripada keseluruhan nilai portfolionya.
Menerusi tanah berkenaan, AME REIT bakal melaksanakan strategi bina untuk disewa bagi membina tiga kemudahan industri berasingan yang boleh disesuaikan mengikut keperluan khusus penyewa, disokong oleh kemudahan infrastruktur sedia ada di tapak tersebut.
Pertimbangan pembelian bernilai RM50.2 juta itu mewakili diskaun 5.2 peratus berbanding nilai pasaran yang dinilai oleh penilai bebas, manakala kos pengambilalihan efektif dijangka lebih rendah menerusi rebat vendor yang ditawarkan selepas syarat dipenuhi.
Pembiayaan bagi pengambilalihan serta pembinaan kemudahan itu akan dibiayai menerusi gabungan kemudahan pembiayaan Islam dan dana dalaman, dengan transaksi berkenaan dijangka selesai menjelang suku keempat 2026.










