PETALING JAYA: Betamek Berhad (Betamek) meraih keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM8.25 juta pada suku pertama berakhir 30 Jun 2026, meningkat 53.1 peratus daripada RM5.39 juta dalam tempoh sama tahun sebelum.
Kumpulan mencatatkan pendapatan sebanyak RM79.82 juta, mewakili peningkatan 40.3 peratus daripada RM56.88 juta pada suku yang sama tahun lepas, manakala keuntungan sebelum cukai (PBT) meningkat 56.5 peratus kepada RM11.21 juta, berbanding RM7.16 juta sebelumnya.
Keuntungan kasar pula meningkat 55.9 peratus kepada RM16.32 juta, berbanding RM10.46 juta pada suku yang sama tahun lepas.
Pengarah Eksekutif Betamek, Muhammad Fauzi Abd Ghani berkata, prestasi itu disokong oleh jumlah pengeluaran yang lebih tinggi merentasi segmen produk automotif dan kemajuan berterusan dalam usaha kepelbagaian kumpulan.
“Perkembangan yang menggalakkan ini mencerminkan kekuatan asas perniagaan kami dan menyediakan asas yang kukuh untuk pertumbuhan jangka panjang yang mampan.
“Produk audio dan video kenderaan kekal sebagai penyumbang terbesar, menjana pendapatan sebanyak RM45.34 juta sepanjang suku tersebut, manakala aksesori kenderaan menyumbang RM24.35 juta.
“Modul ketersambungan terus mendapat perhatian dan menyumbang RM6.77 juta, mencerminkan penyertaan Betamek yang semakin meningkat dalam platform kenderaan berkandungan elektronik yang lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan.
Berbanding dengan suku sebelumnya, kumpulan juga mencatatkan hasil meningkat 20.9 peratus daripada RM66.03 juta pada suku keempat tahun kewangan 2026 kepada RM79.82 juta, manakala keuntungan kasar meningkat daripada RM15.39 juta kepada RM16.32 juta.
Keuntungan sebelum cukai juga meningkat daripada RM9.57 juta kepada RM11.21 juta, disokong oleh jumlah pengeluaran yang lebih tinggi dan permintaan berterusan daripada program automotif utama.
Beliau berkata, strategi kepelbagaian pelanggan kumpulan terus memberikan hasil yang menggalakkan.
“Hasil daripada pelanggan bukan utama menyumbang kira-kira 21 peratus daripada jumlah hasil, berbanding kira-kira 18 peratus yang direkodkan pada tahun kewangan2026, mencerminkan kemajuan berterusan dalam meluaskan asas pelanggan kumpulan.
“Pada masa yang sama, jualan eksport menyumbang kira-kira 18 peratus daripada jumlah hasil, disokong sebahagian besarnya oleh permintaan yang semakin meningkat daripada pasaran Hong Kong dan serantau,” ujarnya.
Selaras dengan komitmennya untuk memberikan nilai kepada pemegang saham, Lembaga Pengarah telah mengisytiharkan dividen interim satu peringkat pertama sebanyak 1.25 sen sesaham biasa bagi tahun kewangan 2027.
Dividen itu akan dibayar pada 17 Ogos 2026 kepada pemegang saham yang namanya tertera dalam Rekod Pendeposit pada 6 Ogos 2026.
Selain itu, Lembaga Pengarah telah mengesyorkan dividen satu peringkat akhir sebanyak 1.25 sen sesaham biasa bagi tahun kewangan 2026, tertakluk kepada kelulusan pemegang saham pada Mesyuarat Agung Tahunan yang akan datang.
Bersama-sama dengan dividen interim yang diisytiharkan semasa tempoh itu, menjadikan jumlah dividen bagi tahun kewangan kepada 6.00 sen sesaham biasa, mewakili hasil dividen kira-kira 9.2 peratus berdasarkan harga penutupan saham Betamek pada 22 Julai 2026. – UTUSAN










