Maybank dinobat Bank Terbaik Dunia bagi tanggungjawab korporat - Utusan Malaysia

Maybank dinobat Bank Terbaik Dunia bagi tanggungjawab korporat

KHAIRUSSALEH RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Maybank merangkul 13 anugerah pada Anugerah Kecemerlangan Euromoney 2026, termasuk pengiktirafan berprestij sebagai Bank Terbaik Dunia bagi Tanggungjawab Korporat.

Maybank berkata, pengiktirafan itu merupakan pencapaian global pertama buat Maybank dalam kategori berkenaan, sekali gus menjadikannya antara hanya dua bank yang beribu pejabat di Asia menerima anugerah global Euromoney tahun ini.

“Anugerah tersebut mengiktiraf komitmen berterusan Maybank dalam memperkukuh tanggungjawab korporat menerusi usaha memperluaskan keterangkuman kewangan, menyokong pembangunan komuniti, mempromosikan pembiayaan bertanggungjawab serta memperkasakan agenda sosial dan kelestarian.

“Di peringkat serantau, Maybank turut dinobatkan sebagai Bank Terbaik Asia bagi Kepelbagaian dan Keterangkuman, Bank Terbaik Asia bagi ESG, serta Bank Terbaik ASEAN bagi Syarikat Korporat Besar.

“Pengiktirafan terhadap perniagaan korporat itu mencerminkan kekuatan francais Perbankan Global Maybank yang memanfaatkan kehadirannya di kesemua 10 pasaran ASEAN bagi menyokong pelanggan yang semakin berkembang di tengah-tengah peningkatan perdagangan intra-ASEAN dan aliran pelaburan langsung asing,” katanya dalam kenyataan.

Di Malaysia, Maybank terus mencipta rekod apabila dinobatkan sebagai Bank Terbaik Malaysia buat kali ketujuh sejak pertama kali memenangi anugerah itu pada 2018. 

Selain itu, bank berkenaan turut menerima anugerah Bank Terbaik Malaysia bagi Kepelbagaian dan Keterangkuman, Bank Terbaik Malaysia bagi ESG, serta Bank Terbaik Malaysia bagi Syarikat Korporat Besar.

Dalam pada itu, Maybank Investment Bank pula diiktiraf sebagai Bank Pelaburan Terbaik Malaysia bagi Pasaran Modal Hutang (DCM).

Di luar Malaysia, operasi serantau Maybank turut menerima pengiktirafan bagi kategori Terbaik untuk Penyelidikan di Singapura, Bank Antarabangsa Terbaik di Kemboja, serta Terbaik di Thailand bagi Penyelidikan dan Perkhidmatan Sekuriti.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Sri Khairussaleh Ramli berkata, pengiktirafan Euromoney itu mengukuhkan lagi komitmen bank dalam merealisasikan misi “Menginsankan Perkhidmatan Kewangan” melalui perbankan berasaskan nilai, pertumbuhan inklusif dan amalan perniagaan mampan.

“Pengiktirafan sebagai Bank Terbaik Dunia bagi Tanggungjawab Korporat menjadi bukti komitmen Maybank dalam menjana impak positif kepada masyarakat sejajar dengan aspirasi ROAR30, selain terus mewujudkan nilai jangka panjang kepada pelanggan dan semua pihak berkepentingan,” katanya. 

Khairussaleh turut mendedikasikan kejayaan tersebut kepada pelanggan, kakitangan serta semua pihak berkepentingan yang telah memberikan sokongan dan kepercayaan sepanjang perjalanan transformasi Maybank. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN