SAUDARA PENGARANG,
PENGURUSAN kewangan sering menjadi topik hangat yang dibincangkan dari semasa ke semasa, lebih-lebih lagi ketika kos sara hidup sedang meningkat seiring dengan kos tanggungan keluarga.
Dua musim yang sering mengorek poket atau simpanan duit ialah pada waktu sesi persekolahan baharu dan persiapan perayaan Aidilfitri.
Tahun ini, dua musim ini datang serentak. Bagi golongan berpendapatan sederhana atau rendah, sumber kewangan mereka yang terhad menjadikan sebahagian mereka mengamalkan kesederhanaan dalam berbelanja awal-awal lagi.
Di sinilah tampak ada keperluan untuk komuniti setempat bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bergabung tenaga bagi mewujudkan sinergi yang dapat memberikan manfaat untuk memperkasakan komuniti dan membina daya tahan kelangsungan hidup.
Berikut ialah beberapa cadangan yang dapat dipertimbangkan:
Pasar percuma, jualan barangan terpakai
Sebilangan ibu bapa yang mempunyai barangan sekolah yang masih elok seperti buku dan uniform tetapi tidak memerlukannya lagi boleh memanfaatkannya melalui pasar percuma ini.
Perkongsian pakaian seragam sekolah, terutamanya pakaian persatuan dan kelab yang agak mahal jika dibeli baharu, tentunya dapat meringankan beban perbelanjaan ibu bapa.
Peranan PIBG
PIBG boleh menjalinkan kerjasama dengan pihak luar seperti badan kebajikan, NGO atau syarikat korporat bagi tujuan pengumpulan dana bersama.
Sekolah juga boleh membuat kerjasama dengan kedai-kedai yang membekalkan peralatan sekolah bagi membolehkan adanya penawaran diskaun pembelian. Melalui cara ini, pihak kedai memperoleh pelanggan dan ibu bapa pula dapat membeli dengan pakej pembelian yang menarik.
Transit di surau kariah atau masjid
Saranan menjadikan masjid atau surau kariah sebagai pusat transit merupakan idea yang boleh dipertimbangkan. Lebih-lebih lagi pada masa kini, tidak asing lagi bagi surau kariah dan masjid menjadi tumpuan ibu bapa melalui anjuran kem cuti sekolah.
Hidupkan semangat ta’awun
Kerjasama yang bertujuan untuk kebaikan dan ketakwaan bukan sahaja bermanfaat untuk keharmonian kehidupan manusia, malah menghindar sikap mementingkan diri serta mengelakkan kejahatan dan kerosakan daripada berlaku dalam masyarakat.
Memperkasakan komuniti setempat dapat membina daya tahan yang lebih tinggi. Elemen ini sangat diperlukan bagi membentuk sebuah masyarakat yang harmoni dan sejahtera dalam sebuah negara yang mampan.
Apabila setiap pihak atau individu berperanan memberikan sumbangan dan sokongan, biar sekecil mana pun, ia akan mampu membentuk lapisan kekuatan yang padu untuk menopang sesebuah kejayaan.
Bak kata peribahasa Melayu, ‘Lemah melapis condong menopang.’ – UTUSAN
BASMIN MAAROF
Pegawai Jabatan Komunikasi Korporat
Pertubuhan IKRAM Malaysia










