Tingkatkan kualiti hidup petani moden

Tingkatkan kualiti hidup petani moden

PELBAGAI insentif seperti gaji kompetitif, bonus, kemudahan kesihatan dan sebagainya dapat menarik minat golongan muda sertai sektor pertanian. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

UNTUK memastikan bekalan beras dan makanan yang mencukupi bagi keperluan dalam negara serta kemungkinan dieksport, kerajaan Malaysia melalui syarikat milik kerajaan (GLC) boleh memperluaskan pembangunan sawah padi dan kebun sayur-sayuran berskala besar.

Langkah ini bertujuan untuk memastikan keselamatan makanan dan mengurangkan kebergantungan pada import makanan dari luar negara. Projek ini tidak semata-mata berorientasikan keuntungan tetapi lebih kepada memastikan bekalan makanan yang mencukupi untuk rakyat.

Untuk menarik minat golongan belia bekerja dalam sektor pertanian makanan, ganjaran dan kemudahan yang diberikan kepada pekerja haruslah setaraf dengan gaji yang kompetitif, kemudahan seperti perumahan dan kesihatan, bonus, serta cuti yang berpatutan. Dengan menyamakan taraf ganjaran, diharapkan lebih ramai belia akan terdorong untuk menyertai sektor pertanian.

Kita perlu mengubah persepsi masyarakat terhadap sektor pertanian dan mengiktiraf nilai pentingnya dalam menyokong ekonomi negara. Mereka harus diberi penghargaan yang setimpal dengan sumbangan mereka.

Ini juga akan menggalakkan lebih ramai belia untuk memilih kerjaya dalam bidang pertanian bagi memastikan kesinambungan sektor ini dalam jangka panjang.

Dengan memfokuskan pada pembangunan dalam sektor pertanian, kita juga dapat mengurangkan tekanan terhadap nilai ringgit negara dengan mengurangkan import makanan dari luar negara. Ini akan membantu mengukuhkan ekonomi domestik dan meningkatkan kedaulatan makanan negara. Oleh itu, walaupun mungkin tidak memberi keuntungan langsung kepada GLC yang terlibat, langkah ini akan membawa manfaat jangka panjang kepada negara dan masyarakatnya.

Pembangunan dalam sektor pertanian makanan perlu diberi tumpuan yang lebih besar untuk memastikan keselamatan dan kedaulatan makanan negara. Dengan memberi ganjaran dan kemudahan yang setaraf dengan sektor lain, serta mengiktiraf nilai sumbangan pekerja dalam sektor pertanian, kita dapat memastikan kelestarian dan kemajuan industri ini untuk masa depan yang lebih baik bagi Malaysia. – UTUSAN

AZIZUL RAHMAN ABDUL RAHMAN
Tokoh Guru Kebangsaan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×