SAUDARA PENGARANG,
BERHUBUNG dengan isu berkaitan kantin sekolah beroperasi semasa bulan Ramadan dan pengiktirafan bak kut teh sebagai makanan warisan negara, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menyatakan kekesalan terhadap sesetengah pihak yang sengaja memainkan isu perkauman agak lampau yang boleh mencetuskan ketegangan dalam agenda perpaduan negara.
Malaysia perlu bergerak ke hadapan dan pemimpin tidak boleh sesekali berpandangan tempang, yang tidak menghormati perpaduan yang telah kita bina selama ini.
Ahli politik tidak sepatutnya mengapi-apikan isu seperti kantin sekolah beroperasi semasa bulan puasa. Saya rasa perkara ini amat jelas, hormat menghormati. Cetek kalau kita minta yang bukan Islam untuk tidak makan di kantin.
Gerakan juga mengingatkan semua pihak, tidak kira sama-ada rakan gabungannya, atau para pemerintah, bahawa perpaduan adalah tanggungjawab bersama dan jangan asyik menyimbah pendekatan yang boleh mewujudkan kebencian dalam kalangan masyarakat.
Saranan Gerakan kepada parti politik dari mana-mana pihak supaya mengutamakan kepentingan ekonomi dan keharmonian negara dalam menghadapi dunia yang semakin mencabar ini.
Perlembagaan Persekutuan menjamin kedudukan dan kebebasan keagamaan. Rukun Negara pula mengingatkan kita akan taat setia kepada sebuah negara persekutuan. Adalah kurang bijak bagi ahli politik menggunakan perkara-perkara remeh dan berbau perkauman dalam menjana publisiti politik.
Adalah baik untuk rakyat dan negara, jika pemimpin politik menjana segala kebijaksanaannya dalam memacu keseragaman dan pembangunan negara. Kita dah nak hampir tujuh dekad merdeka, kalau masih nak memainkan perkauman, kita akan ketinggalan jauh. – UTUSAN
CHAI KO THING
Ketua Biro Hak Asasi Manusia
Parti Gerakan Rakyat Malaysia










