SAUDARA PENGARANG,
SAYA sebagai orang Temerloh sangat teruja dan gembira apabila Pekan Sehari Temerloh yang berusia 150 tahun diiktiraf sebagai Pekan Sehari Terpanjang di Malaysia Book of Records iaitu sejauh 2,153 meter dengan seramai 607 peniaga dan menerima seramai 5,000 hingga 7,000 pengunjung setiap Ahad serta turut dicadangkan sebagai sebuah Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Pengusaha hotel, rumah inap desa, peniaga kedai makan dan restoran turut mendapat kesan hasil limpahan ekonomi ini. Apabila mendapat pengiktirafan, sudah semestinya imej bandar Temerloh sebagai Bandar Ikan Patin perlu dijaga dan dipelihara.
Antaranya, jalan masuk ke Pekan Sehari bersebelahan dengan gelanggang tenis, kalau boleh perlu dilebarkan kerana pengunjung sering kali ‘tersangkut’ kerana jalan yang sempit disebabkan kenderaan peniaga yang diparkir di kiri dan kanan jalan.
Keadaan semakin sesak dengan pertambahan pengunjung terutama ketika musim cuti dan perayaan. Apabila jalan dilebarkan, akan ada ruang untuk pengunjung bergerak dan peniaga pula boleh berniaga.
Inisiatif Majlis Perbandaran Temerloh menyediakan kemudahan bas untuk membawa pengunjung ke Pekan Sehari dari Dewan Tun Razak perlu disebarluaskan lagi. Disarankan juga supaya bas dari luar atau pengunjung diletakkan di dataran berhampiran Dewan Tun Razak dan menaiki bas yang disediakan oleh pihak majlis.
Aspek kebersihan makanan, tanda harga dan susun atur ruang niaga perlulah diambil berat oleh peniaga dan pihak majlis agar imej Pekan Sehari Temerloh sentiasa terjaga dan sentiasa menambat hati pengunjung untuk datang membeli-belah di sini. – UTUSAN
ORANG TEMERLOH
Temerloh, Pahang










