Surau dan masjid perlu kreatif mencari sumber dana

Surau dan masjid perlu kreatif mencari sumber dana

PELBAGAI program anjuran surau dan masjid perlu dilihat dari sudut tuntutan fardhu kifayah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BANYAK program yang anjuran pihak surau dan masjid dalam usaha melahirkan anak-anak yang faham ilmu fardhu ain (ilmu yang asas dan wajib dipelajari) seperti ilmu solat, ilmu akidah dan ilmu syariah.

Persoalannya, patutkah surau dan masjid cenderung dalam aspek keuntungan dengan mengenakan kadar yuran yang tinggi atau lebih bersikap kebajikan dengan mengenakan yuran yang munasabah serta mengharapkan pahala di akhirat? Penganjuran kem dan program cuti persekolahan seharusnya dilihat dari sudut tuntutan fardhu kifayah.

Pihak surau dan masjid seharusnya turut mempertimbangkan keuntungan dan faedah selain kewangan yang bakal diperoleh iaitu ganjaran fadilat memukat pahala secara berterusan. Bayangkan apabila peserta-peserta program dapat memelihara serta mengamalkan ilmu-ilmu bermanfaat yang mereka pelajari semasa menyertai kem anjuran surau atau masjid tersebut, tentulah banyak pahala yang bakal penganjur peroleh nanti.

Dalam sejarah Islam, masjid merupakan sebuah institusi yang amat penting kerana ia bukan sahaja sebagai tempat beribdat tetapi dijadikan pusat pembangunan masyarakat Islam. Masjid pada ketika itu turut berfungsi sebagai pemacu ekonomi masyarakat setempat.

Namun, sifat surau dan masjid pada hari ini dilihat sebagai sebuah entiti yang mempunyai tanggungjawab serta pelbagai bebanan kewangan. Bagi meneruskan kelangsungan sesebuah institusi, maka surau dan masjid dilihat perlu mempunyai sumber dana sendiri bagi membiayai tanggungjawab dan beban kewangan yang dipikul.

Ini bermakna, penubuhan entiti perniagaan khususnya Koperasi Kariah Surau atau Masjid mampu menjadi sumber dana berterusan kepada institusi ibadat tersebut. Namun, hakikatnya pembangunan Koperasi Kariah masih tidak mendapat sambutan sewajarnya seperti mana Laporan Pendaftaran Koperasi Kariah Masjid dan Keahlian oleh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA) sehingga Julai 2023, sebanyak 604 koperasi kariah yang didaftarkan di bawah Akta Koperasi 1993, atau mewakili 8.9 peratus daripada jumlah bilangan keseluruhan masjid di seluruh Malaysia.

Jumlah ini dilihat masih terlalu kecil dan tidak signifikan jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan surau sebanyak 17,000 dan 6,816 buah masjid ketika ini di seluruh negara.

Maka, dalam soal ini pihak pengurusan surau dan masjid di Malaysia, perlu mengambil peluang yang sebaiknya dalam mencari alternatif terbaik bagi memastikan rumah ibadat dapat berperanan secara ideal iaitu menjadi tempat pembangunan masyarakat kariahnya serta pada masa yang sama turut menjadi lokasi pemacu ekonomi umat Islam. – UTUSAN

Dr. Rossidi Usop
Pensyarah Kanan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN