SAUDARA PENGARANG,
GABUNGAN Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menjunjung titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada pembukaan mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen-15 berhubung dengan isu perpaduan antara kaum dan kegagalan rakyat Malaysia menguasai bahasa Melayu dengan baik meskipun setelah 60 tahun Malaysia terbentuk.
Pembentukan dasar yang berkaitan dengan perpaduan dan bahasa Melayu hendaklah dilakukan dengan mengambil kira Perlembagaan Persekutuan dan perundangan yang terpakai. Untuk merealisasikan harapan mewujudkan rakyat yang bersepadu, GPMS berpandangan bahawa kerjasama merentas kementerian perlu diwujudkan kerana isu perpaduan ini berkait rapat dengan pendidikan.
Oleh yang demikian, GPMS menyeru supaya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mengambil langkah proaktif bagi memperkasakan pendidikan bahasa Melayu di semua peringkat dan institusi naungan KPM. GPMS berpandangan KPM boleh memperkukuhkan pendidikan bahasa Melayu dan seterusnya perpaduan dalam kalangan murid sebagai batu asas kepada pembentukan masyarakat yang bersatu padu.
Oleh yang demikian, KPM dan lain-lain kementerian termasuklah Kementerian Perpaduan Negara wajar bekerjasama untuk memberikan kesan yang lebih berkesan dan menyeluruh.
Pada masa sama, adalah menjadi pendirian GPMS bahawa lain-lain cabang kerajaan juga perlu benar-benar merealisasikan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan kerajaan yang melibatkan orang awam. Ini juga meliputi kepada agensi kerajaan dan syarikat berkaitan dengan kerajaan. Hanya dengan ini masyarakat akan faham kepentingan bahasa Melayu dan kedudukan bahasa ini dalam memarakkan lagi perpaduan dalam kalangan rakyat.
GPMS kekal komited untuk menjadi penggerak dalam mempromosikan perpaduan melalui pendidikan dan bersedia untuk membantu kerajaan dalam merealisasikan titah Tuanku Sultan Ibrahim. GPMS berharap agar kerajaan terus serius dalam meletakkan agenda pemerkasaan bahasa Melayu sebagai alat perpaduan dijayakan. – UTUSAN
MUHD FAZREEN ISMADI FAUZI
Presiden Gabungan Pelajar Melayu
Semenanjung (GPMS)










