MPP atau kesatuan mahasiswa: Apa pilihan mahasiswa?

MPP atau kesatuan mahasiswa: Apa pilihan mahasiswa?

PEMERKASAAN kepada organisasi pelajar ini perlulah lebih besar dan tidak boleh hanya sekadar perubahan jenama. – UTUSAN/IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) melalui jawapan menteri dalam sesi Parlimen tahun lalu pernah mengeluarkan kenyataan bahawa tidak akan menentukan sama ada universiti ingin memilih jenama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) ataupun Kesatuan Mahasiswa (KM) dan memberikan ruang dan kepercayaan kepada mahasiswa dan universiti untuk menentukannya sendiri.

Dari sudut mengejar elemen perubahan dan penjenamaan dalam MPP, pastinya akan ada pihak yang ingin menjenamakan MPP kepada KM namun ada pula pihak yang mempunyai nilai sentimental dan sejarahnya lalu bertindak ingin mengekalkan nama sebagai MPP.

Berdasarkan pengetahuan penulis, hanya tiga daripada 20 Universiti Awam (UA) yang menggunakan terma Kesatuan Mahasiswa dalam organisasi tertinggi pelajar universiti masing-masing. Tiga universiti tersebut ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Biarpun menggunakan terma KM tetapi ketiga-tiga universiti mempunyai perbezaan dari sudut bidang tugasan, amalan dan autoriti. Sudah tentu ketiga-tiga universiti ini menjadi panduan dan sandaran bagi universiti-universiti lain dalam era transisi ke arah Kesatuan Mahasiswa memandangkan ini merupakan sebahagian daripada Agenda Pemerkasaan Mahasiswa.

Dari sudut perspektif umum, Kesatuan Mahasiswa dilihat bebas, berdikari dan tidak pro kepada pengurusan universiti. Tambahan pula, mahasiswa-mahasiswi menyifatkan KM lebih komprehensif dan agresif dalam memperjuangkan suara mahasiswa dan mengukuhkan pengaruh di blok mahasiswa. Pada masa yang sama, bidang kuasa Kesatuan Mahasiswa dilihat lebih luas dan mampu membuat keputusan sendiri apabila menghadapi aral melintang.

Ada pihak berpandangan melihat MPP lebih konservatif, iaitu masih tertakluk dengan pihak pengurusan universiti dalam membuat beberapa keputusan. MPP juga dipandang sebagai pihak yang memberi maklumat daripada pihak pengurusan universiti dan tidak mempunyai ruang untuk menyuarakan keluh kesah mahasiswa.

Pada dasarnya, penulis berpendapat bahawa penggunaan terma MPP ataupun KM tidak memberikan sebarang perbezaan signifikan kerana ini bukanlah soalan jenama ataupun nama pada gegantung atau sepanduk mahupun papan LED. Namun, ini soal kebebasan dan autoriti dalam menentukan kehidupan mahasiswa-mahasiswi di kampus. Pemerkasaan kepada organisasi pelajar ini perlulah lebih besar dan tidak boleh hanya sekadar perubahan jenama.

Maka, kepemimpinan mahasiswa perlu menyahut ini sebaik mungkin untuk membentuk kecemerlangan akademik, kematangan minda dan keunggulan karakter sesuai dengan idea pembentukan otak dan watak dalam pembangunan bakat oleh Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir sempena Landasan Hala Tuju Kementerian Pendidikan Tinggi 2024.

Meskipun rata-rata universiti masih menggunakan terma MPP, peranan badan induk pelajar itu sangat besar lebih-lebih lagi telah banyak kebebasan dan tanggungjawab diberikan. MPP wajar menggunakan kebebasan ini dengan penuh kebijaksanaan.

Selepas ini peranan mereka semakin mencabar dengan kebebasan menguruskan kewangan selepas pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Kita seharusnya berterima kasih dengan kerajaan dan KPT kerana bersedia dan memberi keyakinan tinggi kepada pemerkasaan mahasiswa selama ini. – UTUSAN

MUHAMMAD HISYAMUDIN SAZALI
Mantan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar
Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×