SAUDARA PENGARANG,
PERMOHONAN pewartaan warisan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sama ada dalam bentuk tapak atau budaya memang dikenakan syarat yang ketat.
Semasa menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banting, saya berpeluang untuk berbincang dengan pakar dan juruperunding. Ia melibatkan kajian lapangan dalam kuantiti dan kualiti yang banyak.
Ia tidak semestinya merujuk kepada bangunan atau landskap samata-mata kerana bahasa, budaya dan gaya hidup juga boleh diwartakan sebagai warisan sedunia UNESCO. Soalannya sama ada maklumat permohonan, kerja-kerja kajian lapangan, penyimpanan rekod, arkib, artifak, artikel atau sejarah lisan adalah lengkap atau tidak.
Jika semua ini serba lengkap dan mencukupi, maka peluang berjaya adalah lebih tinggi. Jika hanya bergantung pada beberapa artifak, foto dan sebagainya, maka ia masih jauh lagi. Dikatakan kampung baru itu ada kaitan dengan Parti Komunis.
Ini adalah separuh benar. Separuh lagi yang benar yang tidak disebut ialah kampung baru merupakan satu-satunya contoh berjaya Malaya dan negara-negara Komanwel lain menewaskan komunisme pada 1950-an.
Inilah Rancangan Briggs yang dirangka oleh Jeneral Sir Harold Briggs. Beliau memahami bahawa faktor penentu untuk berjaya dalam mana-mana operasi ketenteraan ialah perbekalan dan logistik ketenteraan.
Justeru itu beliau menghalau orang Cina yang tinggal di luar bandar dan kampung di Malaya untuk berpindah ke kem pertahanan yang diberi nama ‘kampung baru’, juga memotong bekalan makanan kepada komunis. Ini secara langsung juga menyelamatkan orang Cina agar tidak digugat komunis.
Kesannya, darurat berakhir dalam masa 12 tahun iaitu pada 1960. Bukankah keamanan dan kestabilan yang dinikmati selepas 1960 sedikit sebanyak berpunca daripada pengorbanan generasi peneroka penduduk kampung baru yang mengorbankan kebebasan peribadi dan kepentingan ekonomi mereka? Parti Komunis Malaya (PKM) akhirnya menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan Malaysia dan Thailand pada 1989 sekali gus mengakhiri perjuangan bersenjata mereka.
Perang Korea dan Vietnam yang meletus adalah antara contoh kemaraan komunis tetapi PKM tidak dapat meniru kejayaan tersebut di Malaya dengan adanya kampung baru. Oleh itu, sesetengah sarjana akademik percaya bahawa berbanding dengan kempen antikomunis berskala besar Amerika Syarikat, penubuhan kampung baru oleh British dan negara-negara Komanwel yang lain di Malaya pula berjaya menyekat kemaraan PKM dengan angka korban yang lebih rendah.
Setelah lebih 60 tahun penubuhan kampung baru, masyarakat Cina juga harus mengakui bahawa rupa asal banyak kampung baru telah bertukar. Ramai generasi muda membina semula rumah-rumah lama nenek moyang mereka dan ini mungkin tidak melayakkan kampung mereka diangkat sebagai warisan UNESCO.
Natijahnya, bukan setiap kampung baru layak memohon. Ini juga bermakna mungkin hanya beberapa kampung baru sahaja dan bukannya semua kampung baru.
Oleh itu, jika ada ahli-ahli politik sedemikian yang bertanya di Parlimen apakah Kampung Baru yang layak memohon pewartaan warisan UNESCO, jawapan saya adalah seperti di atas. Semoga kita mampu untuk berdiskusi dalam subjek ini dengan hati yang minda yang lapang. – UTUSAN
LAU WENG SAN
Shah Alam, Selangor










