SAUDARA PENGARANG,
PEPERIKSAAN adalah alat pengukur standard, piawaiannya, kebolehpercayaan dikawal oleh badan bahagian peperiksaan di Kementerian Pendidikan.
Sudah tentu tahap kebolehpercayaan apabila diadakan satu peperiksaan awam tidak diragui lagi berbanding pentaksiran bilik darjah (PBD).
Bagi murid, ketiadaan peperiksaan PT3 dan UPSR menjadikan murid hilang arah tujuan belajar sebenar, tidak memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pelajaran kerana tiada kebimbangan soal tercapai atau tidak kemahiran yang mereka pelajari dan kesukaran pihak sekolah mendapatkan data untuk mengkategorikan murid ke arah sesuatu bidang apabila masuk ke Tingkatan Empat.
Apabila tiada peperiksaan, sudah tentu kecenderungan atau minat murid ke arah bidang sains, ekonomi, sosial, teknikal sukar untuk dibuat dan yang lebih menggusarkan lagi tiada langsung ke arah memupuk minat murid ke arah bidang sains dan teknologi yang dianggap sukar untuk dipelajari.
Di pihak guru, ketiadaan peperiksaan untuk mengukur tahap kemahiran dan penguasaan murid dalam sesuatu mata pelajaran menjadikan guru tidak dapat meminimumkan tahap pengajaran mereka.
Guru ke sekolah untuk melunaskan tanggungjawab sahaja, tiada kelas tambahan, tiada pengukuhan dan pengayaan bagi murid tertentu. Dengan kata lain, ketiadaan peperiksaan tiadalah cabaran bagi pekerjaan yang dipanggil guru iaitu cabaran untuk mengasah kemahiran, mengembangkan kognitif dan potensi untuk menghasilkan murid yang seimbang dari segi rohani dan jasmani.
Peperiksaan diumpamakan tiang seri dalam pembinaan sesebuah rumah.Tiada kukuh dan lengkaplah sesebuah rumah itu jikalau tiada komponen penting atau tiang yang menegakkan rumah tersebut.
Peperiksaan dianggap kayu ukur untuk mengukur keupayaan kognitif di samping penilaian yang lain yang mengukur siasah dan bakat murid. Apabila adanya peperiksaan awam, maka kebolehan murid dapat diukur dengan standard dan saksama seperti mana pengukuran PISA untuk mengukur pencapaian murid seluruh dunia melalui satu alat pengukuran. – UTUSAN
GURU BERSARA
Temerloh, Pahang










