Fakta memurnikan bacaan anak-anak

Fakta memurnikan bacaan anak-anak

KOLEKSI fakta seperti ini banyak membantu anak-anak sebenarnya. – UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEMASA saya kecil, ibu saya sering membeli akhbar Utusan Malaysia setiap pagi. Salah satu ruangan paling popular dalam akhbar tersebut membabitkan fakta ringkas yang menjadi tarikan saya untuk membacanya.

Baik namanya Sekilas Fakta, Fakta Luar Biasa atau Fakta Menakjubkan, sudut fakta di sebelah bawah kiri akhbar ini sentiasa mendapat perhatian luar biasa.

Ia misalnya bermula dengan fakta yang dimanipulasikan untuk memberikan impaknya. Misalnya dalam masa tiga tahun setengah, air digunakan untuk tujuan domestik dan industri di negara ini, boleh mengisi sebuah Selat Melaka. Purata penggunaan air rakyat Malaysia ialah 10 juta padu air.

Satu lagi fakta menarik: Sekiranya anda tinggal di bandar, anda menghabiskan masa tujuh bulan sepanjang hayat membuka dan menutup pintu pagar rumah anda. Tahukah anda, sekiranya kesemua kenderaan berdaftar di negara ini (36.5 juta pada tahun 2023) disusun rapat, ia boleh menghubungkan Kuala Lumpur dan Rio De Janeiro di Brazil.

Ekoran kejayaan fakta ringkas muka satu itu, Utusan juga telah memulakan sudut fakta mengenai filem (Yang Pelik dan Ajaib) dan sukan (Keunggulan). Kesemuanya menjadi tarikan kepada pembaca. Faktanya ringkas, kemas kini dan menarik.

Anda ingin tahu siapa pelakon paling tua, pelakon yang dibayar paling mahal, atau filem yang paling merugikan dalam sejarah? Anda ingin tahu atlet paling berjaya, pelumba profesional paling dikagumi atau ahli sukan yang paling mahal bayarannya, anda hanya perlu melihat halaman sukan.

Fakta ringkas memang selalunya menarik. Sebab itu buku seperti The Book of Lists, The 10 Best of Everything selain The Guinness Book of World Records begitu laris.

Perhiasan

Mungkin perkara yang dibangkitkan dari buku-buku seperti ini remeh dan tidak penting. Apa perlunya anda tahu dari mana datangnya perkataan “banglo” (kononnya daripada perkataan Benggali, bangla). Anda mungkin tahu emas hanyalah perhiasan bagi manusia. Tetapi tahukah anda sekiranya “ditarik” satu auns emas, ia boleh dijadikan wayar sepanjang 80.5 kilometer atau 50 batu?

Anda mahu tahu berapa banyak manusia kidal di dunia? (kira-kira 200 juta orang). Berapa banyakkah bayi yang lahir setiap saat (empat). Berapa banyakkah air yang anda minum sepanjang hayat? (kira-kira 16,000 gelen).

Sebuah buku tentang fakta menakjubkan ini diterbitkan juga di Malaysia. Buku kecil ini diberi nama 501 Fascinating Facts. Memang buku ini tidak disusun secara sistematik. Tetapi oleh kerana ia dibentangkan dengan cara dramatik, faktanya menjadi hidup dan menghiburkan.

Anda mahu tahu siapa yang paling banyak kali kahwin di dunia? Seorang manusia bernama Adrienne Cuyot dari Belgium. Beliau telah bertunang 652 kali dan berkahwin 53 kali dalam masa 23 tahun. Seorang lelaki dari Algeria bernama Ahmad dikatakan mempunyai 385 isteri. Sayangnya tidak pula disebutkan dalam satu-satu masa berapa banyak pula anaknya.

Koleksi fakta seperti ini banyak membantu anak-anak sebenarnya. Bagi mereka yang malas membaca, mungkin fakta sebegini boleh menceriakan dunia pembacaan mereka.

Bagi yang bosan membaca tentang hal-hal hebat dan wacana tinggi, fakta mudah seperti itu akan meringankan beban minda. – UTUSAN

ARIF MUSTAQIM MD SALLEH
Jurutera Pembinaan
Kuala Lumpur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×