Diskriminasi tersembunyi terhadap wanita

Diskriminasi tersembunyi terhadap wanita

PENDIDIKAN dan dialog antara masyarakat adalah kunci untuk mengatasi stereotaip dan norma yang menghalang hak wanita. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

ISLAM mengajar bahawa semua manusia tanpa mengira jantina mempunyai nilai yang sama di sisi Allah. Surah Al-Hujurat dengan tegasnya menyatakan, “Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenali”.

Ayat ini menunjukkan bahawa perbezaan jantina hanyalah satu bentuk variasi dalam penciptaan, bukan asas untuk diskriminasi. Justeru dalam pandangan Islam, persamaan antara lelaki dan wanita bukan sahaja berkaitan dengan nilai kerohanian, tetapi juga merangkumi hak dan tanggungjawab yang seimbang.

Ia mencerminkan prinsip asas bahawa kedua-dua lelaki dan wanita mempunyai hak yang sama untuk hidup dengan bermaruah dan bekerja ke arah kemakmuran.

Hak pendidikan bagi wanita dalam Islam memainkan peranan penting sebagai asas untuk memahami dan mengembangkan potensi mereka. Ajaran Islam jelas menekankan kepentingan ilmu dan mendidik semua manusia tanpa mengira jantina.

Contoh jelas pemahaman ini dapat dilihat dalam sejarah awal Islam, yang mana beberapa wanita seperti Aisyah, isteri Nabi Muhammad dan Fatimah, puteri Rasulullah terkenal sebagai ulama dan berilmu tinggi. Mereka terlibat secara aktif dalam proses pengajaran dan pemahaman mereka tentang hak pendidikan wanita tertanam dalam tradisi Islam yang tulen.

Secara umumnya, peranan wanita dalam ekonomi merupakan aspek penting yang diberikan perhatian dalam ajaran Islam. Hak ekonomi bagi wanita Muslimah tercermin dalam prinsip-prinsip keadilan dan kesetaraan yang terdapat dalam Islam.
Konsep harta bersama antara suami dan isteri, serta hak mendapatkan nafkah, memberikan landasan kuat bagi pemberdayaan ekonomi wanita.

Hak ekonomi wanita tidak boleh diabaikan dan seharusnya diakui secara mutlak sesuai dengan prinsip-prinsip Islam. Contoh implementasi hak ekonomi wanita dapat ditemukan dalam sejarah Islam, yang mana beberapa wanita seperti Khadijah iaitu isteri Nabi Muhammad, yang dikenali sebagai pedagang berjaya dan sumbangannya sangat signifikan terhadap perekonomian.

Walaupun Islam dengan tegas menitikberatkan kesaksamaan dan memberikan hak yang adil kepada wanita, cabaran sebenar masih dapat dilihat dalam beberapa peringkat masyarakat.

Diskriminasi tersembunyi boleh muncul dalam pelbagai bentuk, termasuk salah tafsir terhadap ajaran agama, norma budaya patriarki, atau bahkan ketidaksamaan dalam peluang.

Sebagai contoh, dalam sesetengah komuniti, amalan pewarisan yang tidak adil masih menjadi kenyataan, wanita mungkin menerima bahagian yang lebih kecil berbanding saudara lelaki mereka. Walaupun Islam memberikan garis panduan yang jelas mengenai pembahagian harta pusaka, namun pelaksanaannya kadangkala dipengaruhi oleh faktor budaya dan tradisi.

Untuk mengatasi diskriminasi tersembunyi ini, masyarakat perlu terus meningkatkan kefahaman terhadap ajaran Islam dan menghayati nilai-nilai keadilan gender.

Pendidikan dan dialog antara masyarakat adalah kunci untuk mengatasi stereotaip dan norma yang menghalang hak wanita.

Dengan cara itu, kita boleh bersama-sama mewujudkan persekitaran yang menyokong kesaksamaan sepenuhnya, menghormati hak setiap individu, tanpa mengira jantina.

Melalui cara ini, kita akan sedar bahawa perjalanan menuju kesetaraan dan keadilan dalam masyarakat bukanlah suatu pencapaian drastik, sebaliknya sebuah proses yang terus berkembang.-UTUSAN

AHMAD FIKRI CHE YUSOFF
Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×