SAUDARA PENGARANG,
KETUA Pengarah Pendidikan, Azman Adnan mengumumkan minggu pertama persekolahan tanpa kelas akademik diteruskan untuk tahun kedua sesi persekolahan 2024/2025 yang akan bermula 10 dan 11 Mac ini.
Pengumuman itu menggembirakan murid-murid warganegara tetapi bukan untuk pelajar tanpa warganegara. Ini kerana murid bukan warganegara di Selangor, kemasukan mereka dilewatkan hampir dua minggu.
Darjat bukan warganegara dan warganegara di Malaysia memang bagai bumi dan langit. Menerusi pengalaman, jika anda bukan warganegara, anda harus menerima hakikat dalam sistem kerajaan, anda seperti `manusia tidak kelihatan’. Anda tidak perlu kecil hati atau merugut kerana tidak ada apa-apa boleh mengubah keadaan sehingga anda dianugerah kewarganegaraan.
Satu kisah benar, seorang ayah kepada anak bukan warganegara memberitahu dia `trauma’ sehingga hari ini terkenang tindakan seorang cikgu menghalang anaknya yang beratur untuk mendapat milo percuma.
Begitulah pengalaman dilalui saya sebagai ibu angkat kepada seorang kanak-kanak lelaki yang akan memasuki tahun satu, Mac ini. Anak angkat saya tiada kewarganegaraan selepas asal-usulnya tidak diketahui ketika diterima. Sebelum sampai ke tangan saya, anak malang ini sudah dijaga dari satu keluarga kepada keluarga lain.
Untuk individu lain yang berhajat membantu anak-anak seperti anak angkat saya, anda perlu bersedia bukan sahaja fizikal tetapi mental dari mula mendaftar kelahiran, mengangkat sebagai anak angkat, memohon kewarganegaraan dan memasukkannya ke sekolah.
Permohonan kemasukan ke sekolah anak angkat saya sudah diluluskan selepas semua urusan permohonan dari Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor dan JPN daerah perlu dilakukan secara bersemuka.
Namun, saya `berkecil hati’ apabila sudah membayar levi RM120 secara tahunan, dimaklumkan perlu membeli sendiri buku teks tetapi anak angkat saya hanya dibenar melaporkan diri ke sekolah selepas 20 Mac.
Saya juga menyimpan perasaan `takut-takut’ adakah anak angkat saya akan melalui peristiwa sama iaitu ditegah untuk minum milo percuma di sekolahnya?
Di sebalik kepayahan membesar anak bukan warganegara, saya terfikir, apakah nasib anak-anak tanpa warganegara lain jika ahli keluarga atau waris mereka tidak faham proses memohon memasukan golongan tersebut ke sekolah.
Justeru, saya ibu angkat warganegara Malaysia ingin mengetahui tidaklah rugi atau salah jika anak-anak bukan warganegara ini dibenar melaporkan diri ke sekolah pada hari sama dengan murid warganegara.
Begitu juga buku teks, jika sekolah tersebut mempunyai lebihan bukankah lebih bermanfaat untuk buku-buku tersebut diagihkan kepada anak-anak tanpa warganegara.
Masalah kewarganegaraan anak-anak seperti ini bukan berpunca daripada mereka tetapi disebabkan ibu dan bapa mereka jadi adalah menganiaya kumpulan ini jika kita turut menghukum mereka dari semua sudut.-UTUSAN
IBU ANGKAT DARI SELANGOR










