SAUDARA PENGARANG,
MUKA depan Utusan Malaysia pada 15 Mac lalu memaparkan misteri kehilangan beras tempatan di pasaran seluruh negara termasuk di Kedah, negeri jelapang padi. Sudah beberapa kali diperkatakan tentang wujudnya tangan-tangan ghaib yang memborong beras tempatan dari kilang dan dibungkus dengan label beras import untuk mendapatkan keuntungan berganda.
Pergilah ke mana-mana pasar raya besar, kita pasti menemui lambakan beras import, manakala sudut kecil rak beras tempatan tetap kosong.
Tiga bulan lepas saya pergi ke sebuah kilang beras di Kedah untuk membeli dedak ayam dan untuk bahan membuat baja organik. Hajat hati mahu turut membeli beberapa kampit beras baharu tempatan. Peliknya, kilang itu hanya menjual beras import pelbagai jenama. Apa dah jadi? Ada dedak, ada sekam padi, tetapi ke mana perginya hasil beras?
Pengguna hanya mampu meneka bahawa pasaran beras diselewengkan oleh tangan ghaib untuk menjana keuntungan berganda tanpa memikirkan kesusahan orang ramai.
Apakah tindakan pihak berkuasa untuk mengatasi masalah ini? Keadaan boleh menjadi semakin parah bila harga beras yang sebenar diimport semakin meningkat kerana terdapat negara pengeluar beras memberhenti atau mengurangkan eksport beras-beras ke negara kita.
Jawapan di Parlimen pun nampaknya tidak meyakinkan pihak pesawah yang letih dan pihak pengguna yang terbeban. Mampukah kekecohan yang berlaku dapat diatasi setakat menetapkan harga runcit beras tempatan di paras siling tertentu tanpa kehadiran beras yang akan dipasarkan, kecuali dengan memaksa semua pasar raya dan pasar menurunkan harga semua beras dalam pasaran ke tahap harga siling yang sama? Soalnya, bolehkah kita menghasilkan situasi menang-menang kepada semua pihak?
Pendekatan yang dicadangkan setakat ini tidak mengambil kira soal untung rugi di semua peringkat perniagaan. Betullah dengan menetapkan harga siling runcit sebanyak RM30 atau RM35 melegakan pihak pesawah. Tetapi adakah ia melegakan pelbagai lapisan peruncit yang mempunyai stok tersendiri dengan tawaran harga tertentu dan berbeza-beza dari pihak pembekal.
Sudut ini yang perlu diambil kira oleh pihak kementerian berkenaan. Tanpa menetapkan harga siling yang sesuai bagi setiap kategori beras import di peringkat jualan runcit, ia tetap memberi ruang kepada kartel memainkan harga borong.
Pastinya penguatkuasaan yang mantap diperlukan dan dalam hal ini rasanya bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah perlu bagi mengatasi masalah ini. – UTUSAN
DATUK SYED ALWI NORDIN
Bekas Ketua Pengarah
Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri










