SAUDARA PENGARANG,
SEDARKAH kita bahawa penyakit yang membarah dalam umat Islam kini dan yang paling berbahaya ialah virus perbezaan pendapat dalam pelbagai bidang, antaranya akidah, pemikiran, pendapat, uslub-uslub fikah serta persoalan ibadat?
Fenomena ini perlu dipandang serius agar tidak mendatangkan keburukan apalagi mewujudkan perpecahan dalam kalangan umat Islam. Situasi demikian jika tidak dibendung hanya akan mencetuskan suasana tidak baik dan tidak harmoni dalam kalangan masyarakat yang berbilang bangsa dan agama.
Isu berkaitan kupasan oleh Pengerusi Duat al-Falah Ustaz Abdul Hadi Bakri ketika Forum Duat al-Falah yang bertajuk Prinsip Wasatiyah dan Adab al-Ikhtilaf dalam Menangani Pertembungan Pemikiran Umat. Secara jelasnya ikhtilaf bermaksud perbezaan yang berlaku pada ucapan, pendapat, kelakuan, cara dan pendirian.
Ikhtilaf dari segi istilah ulama fikah pula memberi makna perbezaan dalam pandangan, mazhab, agama dan kepercayaan yang memberi kebahagiaan atau kesengsaraan kepada manusia di dunia juga akhirat.
Walaupun terdapat pelbagai khilaf dalam masyarakat termasuk yang membawa kepada perpecahan, kesatuan tetap merupakan prinsip unggul yang dijunjung tinggi oleh agama dan haruslah dijadikan matlamat utama dalam kehidupan.
Dalam kitab Adabul Ikhtilaf fil Islam dinyatakan ada tiga punca yang membawa kepada perselisihan. Ada perselisihan yang dibenarkan dan ada perselisihan yang patut dielakkan.
Pertama, sekiranya perselisihan itu berpunca daripada hawa nafsu, maka ia perlu dielakkan kerana ia bukan mencari kebenaran, fakta atau menyelesaikan masalah. Tetapi ia untuk melepaskan nafsu, kebencian, dengki, hasad dan cemburu.
Maka ia menimbulkan pelbagai isu yang bukan mendasar tetapi dibesar-besarkan oleh hawa nafsu.
Kedua, perbezaan atau perselisihan yang berpunca daripada kebenaran. Dalam situasi ini sesiapa pun tidak boleh bertolak ansur.
Ketiga, perbezaan yang berpunca daripada hak dan batil, antara hawa nafsu dan kebenaran. Dalam hal ini, kita perlu pandai mencari solusinya.
Suasana hari ini, selalunya yang menjadi masalahnya ialah perbezaan-perbezaan yang dibenarkan dalam agama tidak dihormati. Contohnya dalam bab pendekatan, masalah furu’, cabang-cabang pendekatan yang tiada adab menyebabkan dia hentam, takfiri (mengkafirkan orang lain), mudah menjatuhkan hukum, mudah menilai orang. Itu puncanya.
Menurut kisah Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika menjadi Menteri Besar Kelantan pada tahun 90-an, pendekatan wasatiyyah jangan terus dihentam, terutamanya dalam bab yang dibenarkan untuk menjawab iaitu dari sudut pendekatan politik.
Jika seseorang itu nak jadi baik, ia perlu faham secara mendalam soal agama. Kalau tidak, setakat faham sedikit, bukan faqih. Setakat tahu sahaja, tak jadi baik lagi, barangkali menjadi celaru.
Justeru, antara adab mengkritik ialah berlaku adil terhadap lawan. Hal ini juga adalah integriti sebagai seorang muslim untuk bertindak balas terhadap sesuatu keadaan, senantiasa berlaku adil dan menegakkan yang benar tidak kira kepada kawan atau lawan dan mendepani kata-kata lawan dengan cara yang terbaik lagi berhikmah bersesuaian dengan konteks tujuan kritikan itu wujud.
Apa yang seharusnya diingat ialah prinsip kritikan adalah untuk menutup dan berusaha menampal lopak-lopak perpecahan serta ketidaksepakatan agar masyarakat dan negara menjadi lebih aman dan harmoni.-UTUSAN
ATRIZA UMAR
Ahli Duat Al-Falah










