BUKIT MERTAJAM : Kerajaan menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kini sedang memperkemaskan garis panduan sedia ada berkaitan kes-kes pengurusan jenazah di seluruh negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, inisiatif itu diambil susulan isu kelewatan pengebumian jenazah yang tular di Selangor, baru-baru ini selain bagi mengelakkan kes yang sama daripada berulang.
“Ketika ini, ada negeri yang telah ada (garis panduan) dan ada juga yang belum. Jadi, kami akan perkemaskan (garis panduan sedia ada) agar ia boleh dijadikan rujukan semua pihak selepas ini.
“Kita akan lakukan secepat mungkin dengan mengambil kira keperluan serta enakmen dan undang-undang yang diperlukan. Saya fikir tidak terlalu lamalah kerana ada negeri yang sudah ada dan kita cuma mahu memperkemaskan sahaja perkara itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Multaqa Madani Ulama dan Umara peringkat zon utara di Majis Timah di sini, hari ini.
Mengulas mengenai isu yang tular itu pula, Zulkifli berkata, pihaknya menyerahkan kes tersebut kepada pihak berkuasa agama negeri yang terlibat iaitu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk ditangani dengan sewajarnya.
“Insya-Allah. Doakan supaya kita dapat laksanakan sebaiknya dan kepada semua, marilah kita sama-sama membuka minda dan berjiwa besar untuk kita tangani sebarang isu secara bersama-sama dan bukannya memporak-perandakan perkara itu. Jadi, sama-samalah kita membantu,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, jenazah seorang kanak-kanak perempuan didakwa terpaksa dibiarkan dalam liang lahad tanpa dikebumikan selama sejam 20 minit selepas pengurusan sebuah masjid di Kampung Pandan, Ampang, Selangor dikatakan menuntut bayaran sebanyak RM1,400.
Situasi tersebut dikatakan berpunca daripada pihak pengurusan masjid berkenaan menahan permit mengubur yang sudah pun diterima oleh ahli keluarga selepas mereka menolak untuk membayar wang tersebut sebagai upah menguruskan.
Bagaimanapun, JAIS kemudian dilapor menjelaskan urusan pengebumian jenazah itu didakwa tertangguh susulan ia dibawa ke sana oleh waris tanpa Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam dan Daftar Kematian.-UTUSAN









