KOTA BHARU: Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini, menetapkan 20 September ini sebagai tarikh perbicaraan bagi kes 14 lelaki yang didakwa atas pertuduhan berlagak seperti perempuan dengan berpakaian wanita, tahun lalu.
Keputusan itu dibuat selepas dua kes yang sebelum ini didengar secara berasingan masing-masing melibatkan tujuh lelaki dalam prosiding berbeza disatukan dalam prosiding di hadapan hakim baharu pada tarikh tersebut.
Peguam yang mewakili tertuduh, Muhammed Syarafi Mohd. Salleh berkata, semua tertuduh memohon supaya pihak pendakwaan menyerahkan semua dokumen berkaitan kes termasuk surat-menyurat kepada pihak pembelaan sebagai persediaan bagi prosiding seterusnya.
Mahkamah turut membebaskan kesemua 14 tertuduh dengan bon jaminan polis sementara menunggu tarikh sebutan semula kes.
Sebelum ini, tujuh lelaki berusia antara 25 tahun hingga 30 tahun mengaku tidak bersalah di hadapan Mahkamah Rendah Syariah atas pertuduhan memakai pakaian wanita di sebuah apartmen di Jalan Mahmood di sin, 30 Mei tahun lalu.
Mereka didakwa berpakaian seperti wanita dengan mengenakan pakaian lengan panjang ketat, seluar ketat, kasut tumit tinggi dan skirt pendek paras atas paha di sebuah dewan serba guna di apartmen berkenaan kira-kira pukul 11 malam.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 19(1) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan 2019.
Semua tertuduh diwakili peguam Muhammed Syarafi dibantu Mohd. Faqqhuruddin Mohd. Nasir dan Muhammad Amirul Ashraf A. Ghani, manakala pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Syarie Kelantan, Shamsiah Hassan. – UTUSAN










