Usaha DBP perkasa bahasa Melayu

Usaha DBP perkasa bahasa Melayu mendepani kepantasan dunia digital

DR. HAZAMI JAHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) baru-baru ini menyambut ulang penubuhannya yang ke-70 dengan cabaran membangunkan bangsa Malaysia yang mempunyai jati diri dengan menghargai bahasa Melayu di semua peringkat dan lapisan masyarakat.

DBP merupakan satu-satunya imam bahasa yang menjadi penggerak dan penentu serta peneraju dalam menetapkan piawaian penggunaan bahasa Melayu di negara ini. Selama tujuh dekad penubuhannya itu, usaha memperkasakan bahasa Melayu semakin mencabar dengan keadaan sosioekonomi rakyat yang berubah, di samping kemajuan teknologi yang menjadi agen pencemaran dan perosak bahasa.

Masalah itu semakin rumit dengan sikap rakyat Malaysia yang tidak menghargai bahasa Melayu, terutama aspek penggunaannya yang semakin cacamarba dan bertebar luas.

Maka menjadi peranan utama DBP sebagai benteng utama dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Fungsi utamanya meliputi merancang, mengembangkan, menerbitkan bahan ilmiah dan sastera, serta memperkasakan penggunaan bahasa Melayu yang betul pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Mengulas usaha tersebut, Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Hazami Jahari berpendapat, DBP yang ditubuhkan atas kesinambungan manifestasi kesaktian lidah rakyat melalui Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu III, 70 tahun dahulu, meniti onak dan cabaran semenjak penubuhannya.

Dalam era digital yang berkembang pesat pula, Hazami mengakui perkembangan dunia digital sememangnya mengubah penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat.

Ini dapat dilihat menerusi komunikasi seharian masyarakat dan paparan kandungan dalam medium digital pada hari ini. Perkembangan digital ini secara tidak langsung menyebabkan berlakunya percampuran bahasa (bahasa rojak).

Masalah lain termasuklah penggunaan bahasa yang menjadi lebih ringkas dan tidak formal menerusi platform seperti WhatsApp, TikTok dan X, pengguna cenderung menggunakan singkatan seperti “sy”, “awk”, “xnk”, penggunaan emoji dan ayat pendek. Keadaan ini menjadikan komunikasi lebih pantas, tetapi melemahkan penguasaan ejaan dan tatabahasa yang betul.

Dalam konteks yang positif, perkembangan teknologi digital akan meningkatkan perkembangan bahasa, penciptaan istilah baharu dan kedinamikan bahasa Melayu itu sendiri.

Dengan perkembangan tersebut, DBP berharap agar rakyat Malaysia menggunakan istilah baharu bahasa Melayu dalam urusan rasmi dan komunikasi.

Tanpa dukungan masyarakat, bahasa Melayu sukar untuk berkembang seiring dengan perkembangan zaman.

DBP juga berdepan cabaran utama dalam memastikan penggunaan bahasa Melayu yang betul, baku dan berkualiti terus dipelihara dalam platform digital.

Dunia digital bergerak jauh lebih pantas daripada proses kodifikasi bahasa, iaitu proses penggubalan istilah, penyusunan kamus dan penetapan kaedah ejaan kata-kata serapan asing yang baharu.

Sebelum sesuatu istilah rasmi diperkenalkan atau disebarkan, komuniti digital biasanya sudah mempopularkan istilah yang dicipta sendiri atau meminjam terus daripada bahasa Inggeris. Impak Ini mewujudkan jurang antara “bahasa buku” dengan “bahasa realiti” yang digunakan oleh warganet.

Isu pempengaruh media sosial dan kandungan tular mempunyai kuasa besar dalam membentuk cara masyarakat berkomunikasi dan menulis. Kebanyakan kandungan tular lebih mengutamakan gaya yang santai, bahasa slanga dan bahasa rojak untuk menarik pengikut.

Sebagai organisasi yang diiktiraf sebagai badan berkanun melalui Ordinan Dewan Bahasa dan Pustaka 1959, ini menjadikan DBP mempunyai kuasa autonomi dalam menggubal dasarnya yang khusus; menyusun program pembinaan dan pengembangan bahasa dan sastera; dan menjalankan kegiatan penerbitan dan perniagaan buku secara kompetitif menurut prinsip dan amalan perusahaan dan profesion penerbitan.

Selain itu, Pelan Strategik DBP 2026-2030 turut menyentuh cadangan program memperkasakan ekosistem bahasa Melayu sebagai bahasa negara, menyebarluaskan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa, mengoptimumkan kemampanan kewangan organisasi, memperkasakan agenda pendigitalan organisasi termasuk data raya, infostruktur dan infrastruktur serta meningkatkan tadbir urus cekap dan berkesan.

Sebagai rumah penerbitan yang lengkap dan kompleks, DBP hingga kini telah menerbitkan buku untuk semua golongan pembaca, iaitu kanak-kanak, remaja dan dewasa yang merangkumi hampir semua bidang ilmu juga karya asli dan terjemahan, majalah, jurnal, buku, ensiklopedia, kamus, buku sekolah serta penerbitan digital.

Begitu juga dengan program pembinaan bakat dan kepakaran serta program pengembangan bahasa kebangsaan pelbagai kaum yang menumpukan usaha bersepadu untuk mengembangkan bakat dan kepakaran dalam bidang bahasa dan sastera kepada pelbagai lapisan dan peringkat masyarakat tanpa mengira peringkat umur, kaum, bangsa dan agama di negara ini.

Daripada usaha ini, maka lahirlah ribuan program antaranya termasuklah Minggu Penulis Kanak-kanak; Minggu Penulis Remaja; Forum Pelajar; Forum Remaja; Munsyi Bahasa; Munsyi Jawi; Munsyi Muda; Munsyi Siswa; Pemerkasaan Jawi; Hadiah Sastera Perdana; Anugerah Sastera Negara; Hadiah Bahasa Public Bank; Dekad Bahasa Kebangsaan; Dekad Membaca Kebangsaan; dan ribuan lagi wacana, forum dan syarahan; pertandingan serta festival yang berlangsung dengan satu tujuan tuntas – memartabatkan bahasa dan sastera kebangsaan.

Dengan usia tujuh dekad penubuhannya, DBP mengadakan ribuan kegiatan melibatkan usaha pemupukan dan penggalakan, iaitu memasyarakatkan bahasa dan sastera yang bertujuan untuk menyemai kecintaan terhadap bahasa kebangsaan.

Begitu juga dengan program pembinaan bakat dan kepakaran serta program pengembangan bahasa kebangsaan pelbagai kaum yang menumpukan usaha bersepadu untuk mengembangkan bakat dan kepakaran dalam bidang bahasa dan sastera kepada pelbagai lapisan dan peringkat masyarakat tanpa mengira peringkat umur, kaum, bangsa dan agama di negara ini.

Hal ini belum mengambil kira usaha berterusan DBP menerusi Bahagian Promosi dan Pengiktirafan dalam menjulang maruah bahasa ke peringkat antarabangsa menerusi usaha memperkukuh rangkaian kerjasama kebahasaan dan kesusasteraan serantau, antaranya menerusi Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA); dan Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia.

Dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang, bahasa Melayu berdepan dengan pelbagai cabaran besar yang berkait rapat dengan perubahan teknologi, ekonomi, dan budaya global.

Antaranya termasuklah; dominasi bahasa Inggeris dalam teknologi dan ekonomi; pengaruh Kecerdasan Buatan (AI) dan teknologi digital, perkembangan AI, enjin carian dan aplikasi digital banyak bergantung pada data bahasa yang besar.

Program Ziarah Bahasa Sektor Awam; Ziarah Bahasa Sektor Swasta; Ziarah Bahasa Pertubuhan Bukan Kerajaan; Audit Bahasa Melayu; Pemantauan Bahasa Melayu di Sektor Awam; Pemantauan Penggunaan Bahasa Melayu di Tempat Awam; dan pemantauan penggunaan bahasa Melayu dengan kerjasama pengguna melalui aduan pengguna, juga sudah menjadi denyut dan nadi yang menghidupkan fungsi dan kewujudan DBP menerusi Bahagian Penguatkuasaan.

Oleh itu, pelbagai pihak perlu mendukung dalam meningkatkan penggunaan dan penghasilan karya bermutu dalam bahasa Melayu menerusi ruang digital.

Bagaimana pun teguran DBP selalunya bersifat nasihat dan diplomasi, yang adakalanya tidak diendahkan oleh syarikat swasta atau individu. Isu algoritma dan dominasi Bahasa Inggeris juga mengakibatkan DBP berdepan cabaran isu semasa kerana platform besar seperti Google, Meta dan TikTok dibina berasaskan algoritma yang sangat dipengaruhi oleh bahasa Inggeris sebagai bahasa pengaturcaraan dan bahasa global.

Enjin carian dan sistem terjemahan automatik adakalanya memberikan hasil yang kurang tepat atau menggunakan struktur ayat yang janggal (terjemahan mesin) manakala sikap apati masyarakat terhadap ketulenan bahasa menjadi masalah mikro.

Cabaran paling besar adalah mentaliti pengguna itu sendiri. Wujud segelintir masyarakat yang menganggap pemartabatan bahasa sebagai sesuatu yang remeh atau terlalu “skema” (formal) untuk ruang digital yang santai. Usaha DBP dengan mewujudkan portal Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) kadangkala hanya dikunjungi oleh golongan akademik atau pelajar manakala masyarakat umum lebih selesa dengan carian pantas yang tidak semestinya sahih.

Bagi mendepani masalah tersebut DBP telah mengambil pelbagai langkah untuk menyesuaikan peranannya dengan perkembangan teknologi dan dunia digital. Antara usaha penting yang dilaksanakan termasuklah menjadikan Pusat Rujukan dan Persuratan Melayu sebagai rujukan masyarakat

DBP juga menerbitkan pelbagai bahan penerbitan berbahasa Melayu menerusi pelantar digital

DBP menerbitkan pelbagai produk penerbitan digital menerusi pelantar JendelaDBP (yang diakses oleh 21,112,203 pelayar dari 189 negara sejak pengoperasiannya dari 8 Mei 2021 hingga 19 April 2026).

Menerusi portal JendelaDBP pula DBP menyiarkan pelbagai rancangan TV dan Radio penstriman berkaitan dengan bahasa, sastera dan budaya untuk mendekatkan pendengar dan penonton dari serata dunia dengan aneka isu, berita dan maklumat berkaitan dengan bahasa, sastera dan budaya yang disiarkan secara langsung dan siaran ulangan yang boleh diakses pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja kita berada.

DBP memasarkan produk penerbitan DBP menerusi JendelaDBP dan DBPNiaga serta media sosial DBP bagi memudahkan masyarakat mendapatkan produk terbitan DBP.

DBP sentiasa berusaha memastikan bahasa Melayu terus berkembang dan kekal relevan dengan memanfaatkan teknologi digital bagi memenuhi keperluan pengguna moden.

Oleh itu, usaha ini membuktikan bahawa pemerkasaan bahasa Melayu tidak terhad di bilik darjah sahaja, malah diperluas ke platform digital. Hal ini penting untuk memastikan generasi muda melihat bahasa Melayu sebagai bahasa yang moden, relevan dan mampu bersaing dalam era teknologi.

Dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang, bahasa Melayu berdepan dengan pelbagai cabaran besar yang berkait rapat dengan perubahan teknologi, ekonomi, dan budaya global.

Antaranya termasuklah;  Dominasi bahasa Inggeris dalam teknologi dan ekonomi; pengaruh kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital Perkembangan AI, enjin carian, dan aplikasi digital banyak bergantung pada data bahasa yang besar. Jika sumber bahasa Melayu tidak mencukupi atau kurang berkualiti, sistem AI mungkin kurang “fasih” dalam bahasa Melayu, sekali gus mengurangkan penggunaannya dalam dunia digital dan pencampuran bahasa (bahasa rojak).

Penggunaan campuran bahasa Melayu dan Inggeris secara berleluasa terutamanya di media sosial boleh menjejaskan penguasaan tatabahasa dan kosa kata yang betul, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Yang lebih penting kata Hazami adalah sikap dan persepsi masyarakat yang  menganggap bahasa Melayu kurang bernilai berbanding dengan bahasa lain, penggunaannya akan semakin terpinggir manakala persaingan dalam ekosistem digital global seperti TikTok, YouTube, dan Instagram dipenuhi dengan kandungan pelbagai bahasa.

Tanpa usaha yang aktif untuk menghasilkan kandungan berkualiti dalam bahasa Melayu, bahasa kebangsaan akan tenggelam dalam arus global. Oleh itu, pelbagai pihak perlu mendukung dalam meningkatkan penggunaan dan penghasilan karya bermutu dalam bahasa Melayu menerusi ruang digital.

Cabaran terbesar sebenarnya bukan sekadar persaingan bahasa lain, tetapi keupayaan bahasa Melayu untuk menyesuaikan diri dengan dunia digital dan kekal relevan sebagai bahasa ilmu, teknologi dan komunikasi moden.

Maka dengan itu, Sambutan Ulang Tahun DBP Ke-70 (SUT70) dapat mendekatkan institusi ini dengan masyarakat, khususnya golongan muda

Program Sambutan Ulang Tahun DBP Ke-70 telah pun bermula sejak April yang lalu dengan pengisian Sambutan Ulang Tahun DBP Ke-70 Peringkat Zon Tengah yang berlangsung di negeri kelahiran tokoh bahasa Melayu yang termasyhur, iaitu Pendeta Za’ba. Untuk rekod DBP ditubuhkan di Johor Bahru pada 22 Jun 1956.

Sejak itu, pelbagai kegiatan dan pengisian dilaksanakan seperti Sambutan Ulang Tahun DBP Ke-70 Peringkat Zon Utara pada 4 dan 5 Mei 2026, Zon Timur pada 9 dan 10 Mei 2026 dan kemuncak pelaksanaan program ini telah diadakan di Kuching, Sarawak bermula dari 15 hingga 23 Jun lalu .

Pelbagai kegiatan dilaksanakan seperi Kembara Madani Bahasa dan Sastera, Program Majalah Dalam Kelas, Pemasangan Papan Tanda Pantun, Malam Bahasa Jiwa Bangsa dan Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun ini yang telah disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan Toh Puan.

Seterusnya, pelaksanaan program sambutan akan diteruskan di Sabah pada 21 dan 23 Julai 2026 dan berakhir di Zon Selatan pada bulan Oktober 2026. Lebih 100 program kebahasaan, kesusasteraan, penerbitan dan program bersama-sama masyarakat diadakan dengan tujuan untuk memastikan bahasa Melayu kekal menjadi bahasa perpaduan, bahasa, ilmu, bahasa ekonomi dan bahasa rasmi di negara ini.

Selepas segala usaha dilakukan, DBP menyeru masyarakat agar memainkan peranan aktif dalam memartabatkan bahasa Melayu, khususnya dalam dunia digital yang semakin berpengaruh. Bahasa itu jiwa bangsa yang wajib dikuasai sebagai lambang jati diri. Harapan dan seruan ini boleh difahami melalui beberapa perkara utama:

Antara matlamat penubuhan DBP berjaya dicapai: 

(i) Membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi: DBP telah menerbitkan sebanyak 368 judul glosari dan kamus istilah merangkumi daftar, glosari dan kamus istilah dalam bentuk bercetak dan juga dalam talian, yang meliputi pelbagai bidang termasuk sains, sosial dan teknologi, sebanyak 28 judul, iaitu 16 buah kamus ekabahasa dan 12 buah kamus dwibahasa, sebanyak 20 ensiklopedia, iaitu 16 ensiklopedia asli dan 4 ensiklopedia terjemaha

(ii) Memperkembangkan bakat sastera, khususnya dalam bahasa kebangsaan: DBP melaksanakan tiga tema kegiatan utama, iaitu pertama pengiktirafan dan penghargaan (termasuklah Anugerah Sastera Negara dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia), pembinaan bakat dan kepakaran (termasuklah Minggu Penulis Remaja dan Minggu Penulis Kanak-kanak), pemupukan dan penggalakan (termasuklah pelbagai kegiatan bahasa dan sastera yang disasarkan kepada pelbagai lapisan masyarakat)

(iii) Mencetak atau menerbitkan atau membantu dalam pencetakan atau penerbitan buku, majalah, risalah dan lain-lain bentuk kesusasteraan dalam bahasa kebangsaan dan dalam bahasa lain: Sebanyak 17,869 judul buku terbit dari tahun 1956 – 2025 dalam pelbagai bidang (umum/falsafah/bahasa/ agama/seni/sastera/sains gunaan/sains tulen/sejarah/geografi). Selain itu, sebanyak 5537 naskhah terbitan fizikal, manakala sebanyak 761 naskhah diterbitkan secara digital bermula tahun 2021-2025 melalui 11 buah majalah.

(iv) Membakukan ejaan dan sebutan, dan membentuk istilah yang sesuai dalam bahasa kebangsaan: Sebanyak 985,427 istilah dalam bahasa kebangsaan dari tahun 1960 sehingga 2024 telah dibentuk berdasarkan jumlah daftar, glosari dan kamus yang telah diterbitkan. Dua rujukan utama juga telah dibina, iaitu Pedoman Umum Pembentukan Istilah Bahasa Melayu dan Daftar Kata Bahasa Melayu (Rumi -Sebutan – Jawi).

(i) Menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul dan untuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan supaya ia akan digunakan secara meluas bagi segala maksud mengikut undang-undang yang sedang berkuat kuasa: DBP telah melaksanakan pelbagai usaha termasuklah memberikan arahan, ulasan, nasihat, bantuan, bimbingan, latihan dan pengawasan. Antara program yang dilaksanakan termasuklah pengiktirafan dan galakan; audit bahasa Melayu di kementerian/agensi kerajaan, kerajaan negeri, GLC, pihak berkuasa tempatan; penubuhan Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan yang merentasi agensi pusat dan negeri; sistem penarafan bintang di pihak berkuasa tempatan dan sektor kewangan; pengesahan bahasa, khidmat nasihat bahasa, khidmat pengesahan dokumen, pantau tegur bahasa; dan pelbagai bentuk wacana ilmiah, kursus dan Latihan dalam mengukuhkan penghayatan dan pembudayaan bahasa dan sastera dalam kalangan masyarakat. –UTUSAN

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN