KOTA TINGGI: Syarikat pembekal peluru berpandu anti kapal (NSM), Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA) memohon mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pertahanan bagi menyelesaikan tuntutan RM1.06 bilion, ekoran pembatalan perolehan misil berkenaan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya tidak mahu perbincangan itu dijadikan alasan atau taktik untuk melengah-lengahkan proses penilaian yang sedang dilaksanakan.
Beliau berkata, kementerian juga berhati-hati dengan sebarang cubaan bertindak sedemikian bagi memastikan proses berkaitan dapat diteruskan tanpa sebarang kelewatan.
“Pihak syarikat iaitu KDA ada memohon untuk berbincang dengan kita. Tapi, walaupun kita kata boleh berbincang, kita tidak mahu ia dijadikan sebagai satu taktik untuk melengah-lengahkan proses tuntutan yang dibuat sebelum ini.
“Dan kita sentiasa sedar dan berwaspada jika ada apa-apa taktik-taktik sedemikian yang digunakan supaya kita tidak terperangkap,” katanya ketika ditemui pada Program Ilmiah Keagamaan Masyarakat (PIKAT) di Felda Air Tawar 2 di sini hari ini.
Sebelum ini, Kerajaan Norway membatalkan lesen eksport NSM kepada Malaysia serta sistem pelancar berkaitan atas alasan untuk melindungi keselamatan negara itu.
Menurut laman sesawang KDA, perolehan NSM dimeterai antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan KDA pada April 2018 dengan nilai kontrak EUR124 juta (RM571.9 juta) bagi melengkapkan enam Kapal Tempur Pesisir (LCS) baharu.
Malaysia menuntut RM1.06 bilion daripada KDA ekoran pembatalan NSM dengan merangkumi tuntutan langsung sebanyak EUR129.86 juta (RM604 juta) iaitu bayaran yang sudah dibuat oleh kerajaan.
Tuntutan tidak langsung adalah sebanyak EUR96.26 juta (RM448.12) juta yang membabitkan implikasi kos dan kesan sampingan akibat kegagalan pembekalan sistem berkenaan.
Mohamed Khaled berkata, tim penilai terdiri daripada pegawai TLDM telah ditubuhkan bagi mengenal pasti sistem peluru berpandu terbaik dari empat negara bagi menggantikan sistem NSM buatan Norway.
Katanya, empat negara itu terdiri daripada Turki, Korea Selatan dan negara di Eropah. – UTUSAN










