SAUDARA PENGARANG,
MASIHKAH wujud amalan duit kopi atau pengeras untuk mendapatkan sesuatu? Ia merangkumi tujuan untuk mendapatkan keutamaan, perhatian, kelonggaran istimewa atau apa-apa kepentingan secara pintas atau mengikut jalan belakang.
Jika situasi ini masih berlaku, sebenarnya tidak banyak yang berubah walaupun kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2023 meningkat apabila mencapai 50 mata pada 2023 berbanding 47 mata sebelumnya daripada keseluruhan skor sebanyak 100 mata dalam pengumuman yang dibuat oleh Transparency International Malaysia pada 30 Januari lalu.
Peningkatan ini menaikkan Malaysia berada di tangga ke-57 bagi 2023 berbanding kedudukan 61 pada tahun 2022. Pada satu sisi, kita berasa gembira kerana ada peningkatan, bermaksud perubahan baik sedang berlaku dalam negara untuk membanteras gejala rasuah.
Namun dari sisi lain, peningkatan tiga mata ini memberikan isyarat bahawa masih banyak lagi kerja keras yang perlu dilakukan dengan tekad yang kuat.
Hakikatnya, sejak sedekad yang lalu, kedudukan Malaysia dalam CPI berlegar di sekitar skor purata 49. Data-data ini bukan sekadar angka statistik tetapi menggambarkan tahap rasuah yang kritikal di negara ini.
Terbukti sudah bahawa negara yang mempunyai kadar korupsi yang tinggi akan mengalami masalah ekonomi dan sosial yang kritikal.
Bahkan, sistem terbaik juga akan gagal apabila rasuah berleluasa kerana undang-undang tidak dihormati, penguatkuasaan lemah dan masyarakat sudah hilang nilai murni.
Keazaman politik yang kuat diperlukan jika Malaysia mahu dikenali sebagai negara yang disegani kerana integriti. Strategi Antirasuah Nasional 2024-2029 yang bakal dilancarkan harus dipastikan dapat berjalan dengan baik dan efektif agar berkesan mencegah rasuah, meningkatkan tatakelola dan integriti dalam pentadbiran awam dan syarikat berkaitan kerajaan.
Undang-undang seharusnya dapat bertindak untuk mencegah jenayah daripada berleluasa. Justeru, penggubalan dan pindaan undang-undang berkaitan rasuah seperti Akta Perlindungan Pemberi Maklumat Rasuah 2010 dilihat perlu bagi memperbaiki kelemahan yang wujud dan menutup lompong yang ada untuk mencapai tujuan ini.
Idea untuk mewujudkan mahkamah khas untuk perbicaraan kes rasuah ada kepentingannya bagi meningkatkan kecekapan usaha menangani gejala yang serius ini.
Tidak dapat dinafikan, rasuah telah lama membelenggu negara ini sehingga telah berakar umbi dengan kukuh dalam segenap peringkat.
Tentunya gejala ini memerlukan masa yang panjang untuk diperangi tetapi perlu juga ada tindakan yang mampu memberikan impak yang besar serta membawa perubahan yang signifikan.
Reformasi yang menyeluruh perlu dilakukan bagi mengubah nilai dalam masyarakat. Persepsi dan sensitiviti masyarakat terhadap rasuah meliputi pemimpin, pihak berkuasa dan masyarakat awam.
Apabila rasuah menjadi sesuatu yang dinormalisasikan, golongan rentan akan tertindas kerana mereka mempunyai akses yang terhad kepada keadilan.
Sebaliknya golongan kaya dan berkuasa mengekang dan memegang sistem keadilan sehingga mengorbankan kepentingan bersama.
Sayangi negara dan generasi kita. Ayuh bersama lakukan perubahan dengan berkata tidak kepada rasuah. Kita boleh hentikan rasuah! – UTUSAN
BASMIN MAAROF
Pegawai Jabatan Komunikasi Korporat
Pertubuhan IKRAM










