SAUDARA PENGARANG,
MERUJUK laporan Utusan Malaysia bertajuk Ada Tiang Elektrik Tapi Masih Bergelap pada 20 Januari lalu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) ingin memaklumkan bahawa tiang sedia ada yang disebut dalam artikel itu adalah tiang bekalan elektrik kepada penduduk Kampung Sungai Bayu Dalam, Gua Musang, Kelantan yang telah mendapat bekalan dan memenuhi syarat permohonan.
Manakala, bagi penduduk yang membuat aduan tidak mendapat bekalan pula, semakan mendapati TNB tidak menerima sebarang permohonan bekalan elektrik daripada penduduk atau permohonan melalui Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB).
Pihak TNB telah mengadakan lawatan tapak pada 21 Januari lalu dan setelah mendapat rujukan bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), status tanah dan tapak rumah pihak pengadu adalah masih milik kerajaan.
Maka, syarat dan prosedur untuk memohon bekalan elektrik adalah perlu mendapat kebenaran daripada PBT terlebih dahulu. Antara syarat lain adalah termasuk izin lalu tiang elektrik sehingga ke premis pengguna.
Lanjutan daripada kes ini, pihak TNB bakal mengadakan sesi perbincangan bersama PBT bagi membantu menyelesaikan isu ini dalam masa terdekat terutama berkaitan status pemilikan tanah berkenaan.
Setelah status pemilikan tanah dan syarat izin lalu diselesaikan, pengadu boleh memohon bekalan elektrik melalui kontraktor elektrik yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga.
Untuk sebarang pertanyaan lain berkaitan permohonan bekalan elektrik, pengguna boleh menghubungi TNB CareLine di talian 1-300-88-5454 atau Facebook TNB Careline. – UTUSAN
JABATAN KOMUNIKASI KORPORAT KUMPULAN Tenaga Nasional Berhad (TNB)










