SAUDARA PENGARANG,
PEMBATALAN 16 seksyen yang terkandung dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan oleh Mahkamah Persekutuan baru-baru ini menjadi isu ‘el nino’ di media sosial sehingga membawa kepada penyebaran berita palsu. Ada pula bentuk persendaan Islam melalui parodi yang akhirnya dilihat seolah-olah mencemarkan institusi kehakiman dan badan perundangan.
Ini tidak boleh dipandang ringan memandangkan ia akan menjadi ‘hasutan’ dan memberi implikasi negatif terhadap persepsi rakyat terhadap keputusan yang dibuat hakim-hakim Mahkamah Persekutuan.
Isu ini memberi ruang bagi pihak autoriti memberikan pandangan dan maklum balas baik untuk memperkasakan institusi mahkamah syariah melalui pembentukan Majlis Mesyuarat Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam (MKI) yang dipengerusikan oleh Sultan Selangor bagi tujuan menyemak kembali enakmen syariah agar tidak bertindih dengan peruntukan persekutuan.
Namun begitu, apa yang membimbangkan rakyat apabila ada segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab cuba menjadi hero dan cuba memanipulasi isu ini sehingga membangkitkan kebencian selain merendah-rendahkan badan kehakiman.
Rakyat Malaysia yang beragama Islam perlu tenang dalam berhadapan situasi yang cuba dimainkan oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab terhadap isu tersebut. Badan penguatkuasa agama dan pelaksana undang-undang seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu bertindak tegas terhadap isu yang terkait dengan 3R (agama, raja dan kaum) agar ia tidak mengganggu gugat ketenteraman awam dan menepis elemen persendaan terhadap agama Islam melalui bentuk kandungan palsu dalam media sosial.
Usaha untuk memperkasakan peranan mahkamah syariah dizahirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui pembentukan jawatankuasa MKI bagi memastikan bukan sekadar perancangan memperkasakan mahkamah syariah ditingkatkan bahkan pelaksanaan tersebut pasti memberikan kebahagian seluruh umat Islam tanpa ada perkara yang berbangkit dikemudian hari.
Usaha murni ini seharusnya disokong oleh semua pihak dengan memberikan keyakinan teguh kepada para pengamal undang-undang syariah dan tekad pihak autoriti memastikan usaha memperkasakan undang-undang syariah tidak berlaku kesulitan terhadap pelaksanaannya di kemudian hari. – UTUSAN
DR. ZURAIMY ALI
Pensyarah Kanan
Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS)
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis










