Akta Parliamen Berpenggal Tetap perlu pindaan

Akta Parliamen Berpenggal Tetap perlu pindaan

PINDAAN terhadap peraturan mesyuarat Dewan Rakyat akan memperkemas dan mempertingkatkan prosedur bagi usul percaya dan tidak percaya. – JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

Akta Parlimen Berpenggal Tetap memerlukan pindaan kepada Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat untuk mengutamakan usul percaya dan usul tidak percaya dalam urusan parlimen dalam semua keadaan.

Akan tetapi, akta ini tidak merangkumi satu reformasi yang berasingan iaitu usul percaya wajib dibentangkan untuk setiap Perdana Menteri baharu.

Ia memerlukan pindaan untuk memperkemas dan mempertingkatkan prosedur bagi usul percaya dan tidak percaya serta memberi keutamaan kepadanya dalam prosiding Dewan Rakyat.

Salah satu daripada dua pengecualian yang membolehkan Perdana Menteri memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk pembubaran awal Dewan Rakyat ialah beliau hilang sokongan di Dewan Rakyat.

Oleh itu, kehilangan sokongan ini perlu ditakrifkan dengan jelas dan usul percaya dan tidak percaya mesti diutamakan. Ini akan menghapuskan amalan mengumpul dan mengira jumlah surat akuan bersumpah (SD).

Melainkan jika kerajaan memberi laluan, boleh dikatakan bahawa usul tidak percaya tidak akan dapat dibahaskan. Kuasa ahli Parlimen untuk menjatuhkan kerajaan yang sedang memerintah dalam erti kata lain adalah satu ilusi kerana ia tidak mungkin dapat direalisasikan.

Tan Sri Azhar Azizan Harun menjelaskan bahawa Yang di-Pertua Dewan Rakyat tidak mempunyai kuasa budi bicara untuk memutuskan sebaliknya.

Malangnya, Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, yang sentiasa dipengerusi oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, tidak pernah meminda peraturan mesyuarat supaya memberikan kuasa sebenar kepada Dewan Rakyat untuk memecat sesebuah kerajaan.

Akta ini boleh memperbaiki kepincangan ini dengan mengutamakan usul-usul percaya dan tidak percaya, untuk digunakan dalam semua keadaan, tidak terhad kepada pelantikan Perdana Menteri baharu sahaja.

Sebelum usul undi percaya Datuk Seri Anwar Ibrahim, undi percaya atas Tun Abdullah Badawi dan Tun Hussein Onn juga dibawa dan diluluskan.

Ketiga-tiga usul ini tidak berniat dan tidak berakibat mempersoalkan kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong dalam pemilihan seseorang Perdana Menteri yang pada pertimbangannya mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Mengapakah tindakan yang sama menjadi tidak berperlembagaan apabila ia menjadi satu prosedur operasi piawaian (SOP)?

Akta yang dicadangkan akan memudahkan pembentangan satu usul percaya atau tidak percaya untuk mengenalpasti kewujudan majoriti Perdana Menteri pada bila-bila masa sedangkan usul percaya pengesahan (CVC) adalah mekanisme khas untuk mengukuhkan keabsahan seorang Perdana Menteri yang baharu dilantik kerana politik boleh berubah.

Antara masa Agong membuat pertimbangan dalam pemilihan Perdana Menteri dan masa Parlimen bersidang pada hari pertama, apa-apa pun boleh berlaku.

Usul CVC ini tidak memberi sebarang kesan negatif kepada mana-mana institusi semata-mata kerana sokongan majoriti Perdana Menteri disahkan di Dewan Rakyat.

Sebaliknya, ia akan memperkasakan kedua-dua institusi raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.

Walaupun ada perkaitannya, namun CVC adalah topik yang berbeza. Di peringkat ini, kami mengalu-alukan lebih banyak perbahasan tentang kebaikan dan keburukan Akta Parlimen Berpenggal Tetap.

Projek SAMA menyeru Kabinet untuk menerbitkan sebuah kertas hijau atas akta ini untuk mencegah maklumat tidak benar atau tidak tepat, seperti mana yang dicadangkan oleh Pengerusi UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau. – UTUSAN

PROJEK KESTABILAN DAN AKAUNTABILITI UNTUK MALAYSIA (Projek SAMA)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN