Adakah wajar PBD terus dilaksanakan?

Adakah wajar PBD terus dilaksanakan?

PENTAKSIRAN bilik darjah merupakan pentaksiran secara menyeluruh, sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada ujian dan peperiksaan. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PELAKSANAAN pentaksiran bilik darjah(PBD) meraikan pelbagai jenis pentaksiran yang boleh diguna pakai di sekolah untuk mentaksir murid adalah bersifat inklusif dengan mengambil kira pelbagai minat serta kebolehan murid dan tidak hanya terhad kepada ujian atau peperiksaan.

PBD dilaksanakan dengan prinsip setiap murid mempunyai minat serta potensi berbeza yang mana kefahaman pembelajaran seharusnya diukur secara individu dengan menggunakan pelbagai jenis pentaksiran selain ujian dan peperiksaan.

Antara jenis-jenis pentaksiran yang boleh digunakan adalah soal selidik, portfolio, rancangan, diari mingguan murid, perbincangan secara berkumpulan atau individu dan juga maklum balas secara lisan dalam kelas.

Jelas sekali, pelaksanaan PBD boleh membantu murid untuk belajar berkomunikasi sewaktu perbincangan dalam kumpulan, bekerjasama dengan rakan sekelas untuk menyiapkan portfolio dan juga membuat penilaian kendiri terhadap prestasi serta kefahaman pembelajaran mereka sendiri.

Perlu kita ingat bahawa kemahiran insaniah ataupun soft skills adalah sangat penting dari sudut kemenjadian murid itu sendiri dan juga apabila mereka menceburi dunia pekerjaan. Justeru, pelaksanaan PBD di peringkat sekolah merupakan platform terbaik untuk murid mengasah kemahiran insaniah mereka melalui pelbagai jenis pentaksiran berbeza untuk setiap subjek.

Tidak dapat kita nafikan bahawa pentaksiran bilik darjah merupakan pentaksiran secara menyeluruh, sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada ujian dan peperiksaan. Dari sudut berbeza, pelaksanaan PBD juga mampu membantu mengurangkan tekanan terhadap pelajaran dan peperiksaan dalam kalangan murid, sesuai dengan konsep PBD yang tidak bertujuan untuk membuat perbandingan atau persaingan antara murid.

Adakah wajar PBD dilaksanakan? Dari kaca mata saya selaku pakar penilaian dan pentaksiran, ya ia wajar dilaksanakan. Walaupun terdapat beberapa kekurangan dan kelemahan dalam pelaksanaan PBD, pelaksanan sedia ada harus diteruskan. Manakala pihak Kementerian Pendidikan pula harus memainkan peranan dan lebih komited dalam usaha memperbaiki segala kekurangan dan kelemahan supaya kualitib pelaksanaan PBD akan terus ditambah baik dari semasa ke semasa.

Mungkin 99 halaman bercetak panduan pelaksanaan PBD yang disediakan oleh pihak Kementerian Pendidikan tidak sampai kepada semua pihak berkepentingan terutama sekali ibu bapa. Ini menyebabkan ramai pihak khususnya ibu bapa merasakan ujian dan peperiksaan peringkat sekolah serta ujian peringkat nasional seperti UPSR dan PMR adalah jauh lebih baik dari PBD dan harus dikembalikan.

Untuk mengatasi isu ini, sebaiknya pihak Kementerian Pendidikan perlu mencari inisiatif lain yang lebih efektif agar maklumat penting berkaitan dengan pelaksanaan dasar diketahui serta difahami sebaiknya oleh pihak ibu bapa.

Perkara yang baik haruslah kerap diuar-uarkan secara berkala agar ibu bapa tidak salah faham dan keliru. Penglibatan dan sokongan ibu bapa terhadap dasar-dasar pendidikan baharu yang dilaksanakan oleh kementerian adalah sangat penting dalam memastikan semua pihak berada di pihak yang sama serta saling bekerjasama dalam menambah baik sistem pendidikan negara untuk generasi akan datang.

Pada masa yang sama, masyarakat terutamanya perlulah bersifat terbuka, positif, menerima dan mendukung penuh polisi atau dasar-dasar pendidikan baharu yang diperkenalkan demi kepentingan murid dan sistem pendidikan negara. – UTUSAN

DR. NURUL FAREHAH MOHAMAD URI
Pakar Penilaian dan Pentaksiran
Pusat Asasi UiTM, Kampus Dengkil

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×