Bergantung pekerja asing sudah boleh diletak noktah - Utusan Malaysia

Bergantung pekerja asing sudah boleh diletak noktah

MODEL perniagaan digital menekankan kepada teknologi automasi, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi pintar. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

ISU perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terlalu bergantung kepada tenaga kerja buruh asing adalah polemik lama yang berlarutan sejak dahulu lagi.

Bagaimanapun, perkara itu tidak harus dijadikan satu isu lagi kerana kerajaan telah mengambil pelbagai langkah untuk melaksanakan transformasi digital bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga manual, sebaliknya beralih kepada teknologi digital dan automasi.

Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM900 juta dana pinjaman di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menggalakkan syarikat PKS meningkatkan produktiviti perniagaan melalui automasi dan pendigitalan.

Sebanyak RM100 juta pula disediakan bagi menyediakan geran pendigitalan sehingga RM5,000 setiap syarikat kepada lebih 20,000 usahawan PKS dan pengusaha mikro untuk menaik taraf sistem jualan, inventori dan perakaunan digital.

Penerapan model perniagaan digital ini bukan sahaja membolehkan PKS memanfaatkan teknologi terkini, tetapi juga meningkatkan produktiviti, memperluas pasaran dan menyokong keberkesanan operasi perniagaan untuk meningkatkan daya saing mereka.

Model perniagaan digital ini menekankan kepada teknologi automasi, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi pintar yang membantu meningkatkan efisiensi operasi.

Teknologi ini membantu PKS mengurangkan kos tenaga kerja dan operasi bagi membolehkan mereka bersaing dalam persekitaran perniagaan yang kompetitif.

PKS perlu memahami keperluan teknologi yang sesuai dengan jenis perniagaan mereka. Penyesuaian model perniagaan digital mereka perlu dibuat berdasarkan kepada perubahan pasaran dan tuntutan pelanggan.

Pelaksanaan model ini membuka potensi yang besar kepada PKS untuk berkembang dan bersaing dalam landskap perniagaan berasaskan Revolusi Industri (IR) 4.0.

Walaupun terdapat pelbagai manfaat dalam pelaksanaan model perniagaan digital, PKS juga menghadapi cabaran.

Cabaran ini termasuk kos pelaburan awal, kekurangan kepakaran teknologi dan isu keselamatan siber.

Bagaimanapun, kerjasama dengan agensi kerajaan dan institusi pendidikan untuk menyediakan latihan dan sokongan teknikal boleh membantu mengatasi cabaran ini.

Kesediaan PKS untuk beradaptasi dengan perubahan pasaran akan menjadi penentu kejayaan dalam menghadapi cabaran dan peluang yang datang. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MD. FAUZI AHMAD, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia  (UTHM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya