KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan melalui syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) menempatkan tangki air kekal di kawasan-kawasan berdepan gangguan bekalan air sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, Rabu ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr. Izani Husin berkata, ia susulan terdapat aduan mengatakan masih ada kawasan yang tidak mempunyai akses bekalan air bersih.
“Kita akan cuba buat distribusi air sebaik mungkin untuk agih kepada rumah-rumah pengguna. Kita juga bersedia dari sudut penghantaran tangki-tangki air ke dalam kampung dalam kuantiti melebihi daripada biasa.
“Kalau pada hari-hari biasa kita hantar satu atau dua tong, untuk musim perayaan ini kita hantar lebih sikit supaya sekurang-kurangnya ada akses air untuk pengguna,” katanya selepas Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Izani berkata, kerajaan negeri lega apabila masalah ketiadaan air di kawasan Apam, Pasir Mas dapat diselesaikan dengan penyerahan telaga tiub oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), hari ini.
Katanya, kesemua tangki-tangki air yang dibina di negeri ini hanya akan siap pada 2028 atau 2030 dan dijangka dapat memenuhi keperluan rakyat Kelantan apabila ia mampu mengeluarkan air bersih sebanyak 880 juta liter sehari.
“Buat masa ini kuantiti air belum mencukupi, ditambah pula isu air tidak berhasil (NRW) sejak sekian lama. Sebagai alternatif, kita terpaksa menggunakan lori-lori air dan meletakkan tong-tong air di kampung-kampung yang tiada bekalan air,” ujarnya. – UTUSAN










