Selain Malaysia Madani, terap juga Islam Madani - Utusan Malaysia

Selain Malaysia Madani, terap juga Islam Madani

PENDIDIKAN Jawi dan al-Quran yang berterusan bermula dari usia tujuh tahun dapat mengukuhkan jati diri murid Islam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEJAK kebelakangan ini, terlalu banyak pertikaian dan saling tuduh menuduh dalam hal ehwal agama Islam antara parti-parti sama ada Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH).

Adakalanya rakyat keliru dengan ‘konsep’ Islam mengikut parti politik masing-masing semata-mata ingin menonjolkan merekalah yang terbaik dan paling benar.

Selain konsep Malaysia Madani, ini masanya memberi sokongan kepada gagasan Islam Madani supaya Islam tidak menjadi bahan memecahbelahkan orang Melayu Islam.

Rakyat amat dahagakan pelaksanaan gagasan Islam Madani yang jelas dan berwawasan. Kerangka Islam Madani perlu dijelaskan agar ia tidak hanya dilihat sebagai retorik politik yang dizikirkan saban hari oleh kepimpinan politik.

Sebenarnya banyak kebaikan boleh diperoleh di bawah gagasan Islam Madani seperti toleransi beragama, keharmonian antara kaum, membanteras masalah dadah, jati diri dan penstrukturan semula pentadbiran dan undang-undang Islam.

Antaranya mahkamah syariah mesti diletakkan di tempat tertinggi dan eksklusif untuk orang Islam sahaja dan kes-kes dari mahkamah itu tidak boleh dibawa ke mahkamah sivil.

Selain itu, agensi-agensi Islam perlu memainkan peranan membangunkan program-program yang mana isi kandungannya adalah untuk mendekatkan anak-anak Melayu Islam dengan tulisan Jawi dan al-Quran.

Pendidikan Jawi dan al-Quran yang berterusan bermula dari usia tujuh hingga 17 tahun dapat mengukuhkan jati diri seterusnya menjadi pendinding utama diri anak-anak Melayu Islam daripada terjerumus ke lembah maksiat dan dadah.

Dengan gagasan Islam Madani, kita boleh melawan segala ajaran songsang. Paling penting untuk dilihat dan diberi fokus sehingga kini semestinya isu yang sangat dekat dengan orang Melayu dan Islam, iaitu penagihan dadah.

Berdasarkan bancian oleh pihak berkuasa, 90 peratus penagih dadah di negara ini terdiri dalam kalangan anak Melayu.

Kesan dan pengaruh dadah begitu teruk dan memberi kesan pada individu sehingga boleh terjebak kepada jenayah lain seperti rogol, rompakan dan bunuh.

Semua ini akan terpalit atas nama Melayu dan Islam. Apa yang menyedihkan, situasi membarah ini tidak mendapat perhatian sebaiknya daripada pemimpin Melayu.

Kini giliran dan peluang terbaik pula diberikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menggerakkan gagasan Islam Madani bagi membantu menyelesaikan masalah penagihan dadah ini.

Rakyat menantikan sentuhan perubahan daripada kepimpinan beliau dan disokong oleh peranan daripada segenap lapisan masyarakat.

Beliau perlu buktikan kepada rakyat kemampuan untuk menjayakan gagasan Islam Madani dan pada masa sama konsep Malaysia Madani.

Tunjukkan kepimpinan sebagai Perdana Menteri supaya rakyat terutama orang Melayu dan umat Islam mendapat manfaat yang dijanjikan.

Inilah masanya untuk bekerja dan terus mengangkat nama Malaysia ke persada dunia. – UTUSAN

DATUK ABUL HASAN, Segambut, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya