SAUDARA PENGARANG,
SEPERTI semua tahu, Perang Russia-Ukraine masih tidak menemui titik noktah walau pelbagai bantuan diberikan masyarakat antarabangsa terutama negara-negara yang bersimpati dengan penderitaan rakyat Ukraine.
Bagaimanapun, kita kurang memberikan perhatian kepada salah satu kaum minoriti beragama Islam yang turut berjuang bersama-sama kerajaan Ukraine, iaitu etnik Tatar Crimea.
Etnik itu menjadi mangsa penindasan sejak 2014 setelah wilayah Crimea di Ukraine diceroboh oleh Russia.
Malangnya suara etnik Tatar Crimea seolah-olah dinafikan oleh sebahagian masyarakat Islam termasuk di Malaysia sendiri sepanjang perang berlangsung.
Ikut sejarah, etnik Tatar Crimea mempunyai darah campuran Turkiye dan telah melalui pelbagai peristiwa termasuk kekejaman Kesatuan Soviet. Jumlah etnik tersebut di Ukraine adalah seramai 248,000 orang.
Mereka bebas mengamalkan syariat Islam sungguhpun Ukraine adalah negara beragama Kristian.
Dilaporkan ribuan etnik Tatar Crimea dari pelbagai profesion seperti ahli politik, doktor, anggota keselamatan dan agamawan telah dibunuh oleh Russia dan pasukan bersenjata disokong negara itu kerana cuba menentang penindasan ke atas mereka.
Terdapat juga dalam kalangan etnik terbabit yang meringkuk di dalam penjara sama ada di wilayah Crimea ataupun dibawa ke Russia.
Etnik Tatar Crimea tidak berdiam diri apabila mengadakan tunjuk perasaan dan menghantar memorandum kepada Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) tetapi tidak dilayan oleh organisasi tersebut.
Rakyat Malaysia pula kurang cakna mengenai nasib etnik Tatar Crimea kerana kekurangan maklumat sehingga menyebabkan mereka mudah terpengaruh dengan dakyah Russia.
Diakui ada usaha pihak perseorangan dan organisasi tertentu yang berusaha mendedahkan kepada rakyat negara ini mengenai penderitaan etnik Tatar Crimea.
Diharap semua pihak terutama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan dan masyarakat ambil tahu tentang nasib etnik Tatar Crimea ini. – UTUSAN
FAKARUL NAIM, Kuala Lumpur