PETALING JAYA: Harga minyak mentah global kekal berada di bawah paras AS$100 (RM394.95) setong semalam, namun kejatuhan semasa dilihat tidak bersifat kekal, sebaliknya lebih kepada pelarasan sentimen pasaran susulan perkembangan diplomatik terkini.
Harga minyak terkini disokong kemajuan rundingan antara Washington dan Tehran yang membantu meredakan ketegangan di Selat Hormuz, sekali gus mengurangkan kebimbangan gangguan bekalan global dalam jangka pendek.
Minyak mentah Brent naik 1.27 peratus kepada AS$96.14 (RM379.75) setong sementara minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) meningkat 1.29 peratus kepada AS$92.47 (RM365.25) setong pada pukul 4 petang semalam.
Profesor Ekonomi di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Law Siong Hook berkata, kejatuhan harga minyak ini belum boleh dianggap kekal dan bukannya perubahan struktur dalam pasaran tenaga.
Katanya, pasaran bukan sedang menilai keamanan penuh, tetapi hanya pengurangan sementara premium risiko.
Menurutnya, bagi pembetulan besar dan berkekalan harga minyak global berlaku, pasaran perlu melihat tiga perkara serentak iaitu Selat Hormuz kembali berfungsi secara normal, sekatan dan gangguan penghantaran benar-benar berkurang dan rundingan damai bergerak ke arah penyelesaian yang boleh dipercayai.
“Setakat ini, ketiga-tiga syarat itu belum dipenuhi sepenuhnya. Pendek kata, pelonggaran konflik semasa belum cukup kuat untuk mencetuskan pembetulan besar dan berkekalan dalam harga minyak global.
“Ini kerana faktor asas seperti sekatan perdagangan, gangguan penghantaran, kos insurans, dan ketidakpastian geopolitik masih belum kembali normal.
“Justeru, penurunan harga sekarang lebih tepat dilihat sebagai normalisasi daripada paras panik, bukannya isyarat bahawa harga minyak akan terus jatuh kembali ke paras pra perang dalam masa terdekat,” jelasnya.
Tambahnya, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sudah memberi amaran bahawa jika konflik memburuk semula, dunia boleh bergerak ke arah pertumbuhan global jauh lebih lemah, malah senario teruk boleh membawa kemelesetan global.
“Walaupun sentimen pelabur bertambah baik dalam jangka pendek, isu asas seperti konflik geopolitik, ketegangan serantau masih belum diselesaikan secara menyeluruh.
“Ini menyebabkan pasaran kekal dalam keadaan berhati-hati, dengan tindak balas yang cepat terhadap sebarang perkembangan baharu. Selagi belum ada bukti jelas bahawa rundingan damai berjaya dan aliran minyak pulih normal, risiko lonjakan semula harga minyak dan turun naik pasaran masih sangat nyata,” jelasnya.
Mengulas mengenai perkembangan mata wang negara pula, beliau berkata, kesan terhadap ringgit adalah bercampur.
Jelasnya, Malaysia ialah pengeksport bersih tenaga, menjadikan harga minyak yang tinggi sebelum ini memberi sedikit sokongan kepada ringgit.
“Reuters juga melaporkan ringgit relatif lebih tahan berbanding mata wang serantau lain kerana status Malaysia sebagai pengeksport bersih tenaga dan kerana aliran masuk pelaburan ke sektor pembuatan dan pusat data.
“Namun jika harga minyak turun kerana konflik reda, sokongan langsung daripada saluran komoditi kepada ringgit mungkin berkurang,” ujarnya.
Siong Hook berkata, asas Malaysia masih agak kukuh degan Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan unjuran pertumbuhan 2026 kepada empat hingga lima peratus pada pada 31 Mac 2026 dan menegaskan prospek keseluruhan ringgit masih positif walaupun wujud turun naik.
“Dengan asas ekonomi domestik yang masih kukuh, ringgit berpotensi kekal stabil dalam jangka pendek. Bagaimanapun, aliran modal asing kekal sensitif kepada perkembangan geopolitik dan boleh berubah dengan pantas jika ketegangan kembali meningkat,” jelasnya. – UTUSAN










