PUTRAJAYA: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya rancangan rejim Zionis Israel untuk merampas serta memperluaskan kawalannya ke atas 70 peratus wilayah Gaza.
Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan, tindakan tersebut menyalahi undang-undang dan sama sekali tidak boleh diterima.
Tegas Wisma Putra, ia merupakan pelanggaran nyata oleh rejim tersebut terhadap undang-undang antarabangsa, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serta pelbagai resolusi Majlis Keselamatan PBB dan Perhimpunan Agung PBB.
“Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk menolak dan membantah rancangan rejim Zionis tersebut.
“Gaza merupakan sebahagian daripada Wilayah Palestin yang telah lama wujud sebelum penubuhan negara haram Israel.
“Sebarang usaha untuk mengubah hakikat tersebut hanya akan mengakibatkan ketidakadilan yang lebih ketara serta memburukkan lagi keadaan keselamatan dan keamanan yang sedia rapuh di rantau berkenaan,” katanya hari ini.
Wisma Putra berkata, rakyat Gaza terus menderita akibat tindakan genosid dan kemusnahan yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel.
Jelasnya, sebarang bentuk pengilhakan wilayah Palestin adalah salah di sisi undang-undang antarabangsa dan tidak boleh dibenarkan.
“Tindakan tersebut dengan jelas mencerminkan niat terancang untuk menafikan hak-hak sah rakyat Palestin, termasuk hak mereka untuk menubuhkan sebuah negara yang merdeka dan berdaulat di tanah air mereka sendiri yang merangkumi Tebing Barat, Gaza dan Baitulmaqdis Timur.
“Malaysia menegaskan solidariti yang tidak berbelah bahagi terhadap rakyat Palestin serta sokongan berterusan negara terhadap penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya,” katanya. – UTUSAN










