TEHERAN: Iran akan menyekat aliran import dan eksport di rantau Teluk, Laut Oman dan Laut Merah sekiranya Amerika Syarikat (AS) meneruskan sekatan maritim terhadap negara itu.
Amaran itu dikeluarkan komander tentera utama Iran di Ibu Pejabat Pusat Khatam al-Anbiya, Ali Abdollahi, sambil mengecam sekatan AS di Selat Hormuz yang bertujuan menghalang kapal dari dan ke pelabuhan Iran daripada melalui laluan strategik tersebut.
Beliau berkata, tindakan berterusan Washington mengenakan sekatan laut di rantau itu serta mengganggu keselamatan kapal dagang serta kapal tangki minyak Iran akan mencetuskan pelanggaran gencatan senjata.
Susulan itu, Abdollahi memberi amaran angkatan tentera Iran tidak akan membenarkan sebarang eksport dan import diteruskan di Teluk, Laut Oman dan Laut Merah.
Beliau menambah, Iran akan mengambil tindakan tegas untuk mempertahankan kedaulatan dan kepentingan negaranya.
AS sebelum ini mengenakan sekatan di Selat Hormuz bagi menghalang kapal daripada memasuki pelabuhan Iran, yang berkuat kuasa selepas rundingan damai kedua-dua negara di Islamabad minggu lalu gagal mencapai kemajuan.
Rundingan damai itu diadakan pada Sabtu dan berlanjutan sehingga Ahad, susulan gencatan senjata selama dua minggu antara Iran, AS dan Israel berkuat kuasa pada 8 April lalu.
Pada 28 Februari, Israel dan AS melancarkan serangan bersama ke atas Teheran dan beberapa bandar lain di Iran, yang mengorbankan pemimpin tertinggi negara itu, Ali Khamenei, bersama beberapa komander kanan tentera serta orang awam.
Sebagai tindak balas, Iran melancarkan siri serangan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan Israel serta aset AS di Asia Barat, selain memperketat kawalan di Selat Hormuz dengan menyekat laluan kapal milik atau berkaitan Israel-AS.
ASKAR TAMBAHAN
Pentagon dilaporkan menghantar ribuan lagi tentera ke Asia Barat dalam beberapa hari akan datang ketika Washington dan Teheran berusaha menyambung semula rundingan bagi mencapai perjanjian untuk menamatkan konflik.
Menurut laporan The Washington Post, pentadbiran Presiden Donald Trump turut mempertimbangkan kemungkinan serangan tambahan atau operasi darat sekiranya gencatan senjata rapuh gagal bertahan.
Jumlah tentera yang dikerahkan ke rantau itu termasuk kira-kira 6,000 anggota di atas kapal pengangkut pesawat kelas Nimitz, USS George H.W. Bush, bersama kapal perang pengiringnya.
Ia dilaporkan berlepas dari Naval Station Norfolk di negeri Virginia pada hujung Mac menuju Asia Barat, menurut kenyataan Tentera Laut AS.
Selain itu, kira-kira 4,200 anggota daripada Boxer Amphibious Ready Group bersama pasukan Kor Marin, Unit Ekspedisi Marin ke-11, dijangka tiba di rantau berkenaan menjelang akhir bulan ini.
GENCATAN SENJATA
Dalam pada itu, Setiausaha Rumah Putih, Karoline Leavitt pada Rabu menafikan gencatan senjata AS dengan Iran akan dilanjutkan.
Beliau berkata, pentadbiran Trump kekal optimis rundingan yang sedang berlangsung berpotensi menghasilkan perjanjian untuk menamatkan konflik yang berlarutan selama beberapa minggu.
“Kami positif mengenai prospek perjanjian,” katanya dalam taklimat di Rumah Putih.
Namun, beliau tidak mengesahkan bila rundingan dengan Iran akan disambung semula, tetapi jika ia diteruskan, perbincangan dijangka berlangsung di Pakistan walaupun selepas rundingan gagal di Islamabad baru-baru ini.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmail Baghaei dilaporkan berkata, Teheran tidak mengesahkan sebarang persetujuan dengan AS mengenai lanjutan gencatan senjata.
Beliau turut berkata, tiada tarikh khusus ditetapkan bagi pusingan baharu rundingan AS-Iran, namun delegasi Pakistan mungkin melawat Iran pada Rabu bagi membincangkan proses rundingan tersebut.
Baghaei juga berkata, Iran bersedia membincangkan parameter berkaitan pengayaan uranium dengan AS, namun menegaskan hak negara itu untuk menggunakan tenaga nuklear.
SEDIA SAMBUNG PERANG
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, tenteranya bersedia untuk sebarang kemungkinan sekiranya pertempuran dengan Iran kembali tercetus.
Dalam kenyataan video, Netanyahu berkata, pasukan Israel berada dalam keadaan siap siaga dan menerima ‘maklumat berterusan’ daripada sekutu AS mengenai perkembangan diplomatik dengan Iran.
Beliau berkata, matlamat kedua-dua negara kekal sama, termasuk penghapusan bahan uranium yang diperkaya, pelupusan keupayaan pengayaan nuklear Iran serta pembukaan semula Selat Hormuz.
“Sebagai persediaan sekiranya pertempuran disambung semula, kami bersedia untuk sebarang senario,” katanya.
Menurut Al Jazeera, angka awal menunjukkan 2,076 orang maut di Iran. Sekurang-kurangnya 26 lagi terbunuh di Israel, 13 anggota tentera AS dan 28 orang turut menemui ajal di negara-negara Teluk akibat perang Iran.










