WASHINGTON: Presiden Donald Trump pada Rabu dilihat mengancam untuk menyerang sekutu Amerika Syarikat (AS), Oman, jika negara itu berpihak kepada Iran dalam isu pembukaan semula Selat Hormuz.
Trump berkata, Oman mesti berkelakuan baik atau beliau akan memusnahkan mereka apabila ditanya sama ada beliau akan menerima perjanjian jangka pendek yang membolehkan Iran dan negara Teluk itu mengawal laluan perairan berkenaan.
“Tidak, selat itu akan dibuka kepada semua orang,” kata Trump kepada wartawan semasa mesyuarat Kabinet di Rumah Putih.
“Ia adalah perairan antarabangsa dan Oman akan bertindak seperti semua pihak lain atau kami perlu memusnahkan mereka. Mereka faham perkara itu, semuanya akan baik-baik sahaja,” tambahnya.
Rumah Putih tidak segera memberikan respons apabila ditanya AFP sama ada Trump tersasul dan sebenarnya bermaksud merujuk kepada Iran, bukannya Oman.
Oman ialah sekutu penting AS yang cuba menjadi pengantara dalam perang Asia Barat dan turut menjadi sasaran serangan Teheran.
Jabatan Negara AS kemudian menyiarkan klip video dan transkrip kenyataan Trump mengenai Oman tanpa sebarang pembetulan atau penjelasan.
Trump yang berusia 79 tahun itu sebelum ini juga dilihat tersilap menyebut Iran sebagai Venezuela apabila berkata negara Amerika Selatan itu yang pemimpinnya, Nicolas Maduro digulingkan oleh tentera AS pada Januari tidak lagi mempunyai tentera laut dan tentera udara.
Trump berulang kali menggunakan ungkapan sedemikian untuk merujuk kepada Iran, yang diserang AS dan Israel pada 28 Februari.
Iran memberi bayangan bahawa ia mahu mewujudkan realiti baharu di Selat Hormuz yang menjadi laluan kira-kira satu perlima minyak dunia dengan mengenakan tol ke atas kapal yang melaluinya serta berkongsi hasil kutipan dengan Oman. – AFP










