TEHERAN: Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) menyasarkan sebuah pangkalan Amerika Syarikat (AS) pada Khamis sebagai tindak balas terhadap serangan AS di selatan negara itu.
“Susulan pencerobohan pagi ini oleh tentera penceroboh AS terhadap sebuah lokasi di pinggir Lapangan Terbang Bandar Abbas menggunakan peluru berpandu udara, pangkalan udara Amerika yang menjadi sumber serangan itu telah disasarkan pada pukul 4.50 pagi (waktu tempatan)),” menurut kenyataan badan penyiaran Iran, IRIB.
Kenyataan itu tidak memberikan butiran lokasi pangkalan berkenaan, namun Kuwait, sekutu AS, memaklumkan bahawa ia sedang bertindak balas terhadap serangan peluru berpandu dan dron pada pagi Khamis.
Tentera Kuwait bertindak balas selepas AS melancarkan serangan baharu ke atas Iran dan Teheran berkata, ia telah melepaskan tembakan ke arah kapal-kapal di Selat Hormuz.
“Pertahanan udara Kuwait ketika ini sedang menangani serangan peluru berpandu dan dron musuh,” kata tentera Kuwait dalam hantaran di platform X.
Tentera AS dan Iran dilaporkan telah mematuhi gencatan senjata sejak 8 April, selepas Teheran diserang oleh Amerika bersama Israel sejak 28 Februari lalu.
Namun, keadaan di Selat Hormuz kekal sangat tidak stabil dengan pertikaian berterusan mengenai akses perkapalan dan penguatkuasaan kawalan maritim.
Sejak gencatan senjata bermula, kedua-dua pihak saling menuduh antara satu sama lain melanggar perjanjian tersebut. Iran telah mengetatkan kawalan ke atas perkapalan di Teluk, termasuk kadangkala memberi amaran atau menyekat kapal yang melalui Selat Hormuz.
AS pula meneruskan serangan terhad berbentuk pertahanan terhadap dron, aset laut dan pusat kawalan Iran yang dikaitkan dengan serangan ke atas kapal dagang. – AFP










