BEIRUT: Pihak berkuasa tempatan di utara Israel semalam mengumumkan bahawa sekolah akan terus ditutup sehingga diberitahu kelak susulan ketegangan yang semakin memuncak di sepanjang sempadan Lubnan.
Langkah itu dilaporkan diambil secara bebas oleh pihak berkuasa tempatan dan bukan atas arahan tentera.
Markas Hadapan Dalam Negeri Israel turut memaklumkan bahawa kawasan termasuk Meron, Bar Yochai, Or HaGanuz dan Safsufa akan kekal di bawah sekatan aktiviti separa dengan perhimpunan dihadkan kepada 50 orang di kawasan terbuka termasuk 200 orang di dalam bangunan.
Langkah itu diambil selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengarahkan tentera Israel memperluaskan operasi di Lubnan sambil menegaskan bahawa Israel masih berada dalam perang dengan Hizbollah walaupun terdapat gencatan senjata yang diusahakan Amerika Syarikat (AS).
Netanyahu berkata, pada Isnin bahawa beliau telah mengarahkan tentera memperhebat serangan di Lubnan dalam usaha menghancurkan Hizbollah dan menuduh kumpulan itu menyasarkan tentera Israel dengan serangan dron.
“Saya telah mengarahkan operasi kami dicepatkan,” kata Netanyahu dalam kenyataan video yang dimuat naik di saluran Telegramnya.
“Memang benar mereka menyerang kami dengan dron. (Ia) termasuk dron gentian optik, tetapi kami mempunyai pasukan yang sedang membangunkan langkah balas dan kami akan menyelesaikan isu ini.. Kami akan memperhebat serangan, meningkatkan kuasa tembakan dan kami akan menghancurkan mereka.
Serangan Israel ke atas selatan Lubnan semakin meningkat sejak beberapa hari kebelakangan ini di tengah-tengah permusuhan rentas sempadan yang berterusan.
Sementara itu, Hizbollah melancarkan beberapa serangan pada Isnin ke atas tiga berek dan sebuah pos tentera di utara Israel sebagai tindak balas terhadap pelanggaran gencatan senjata oleh negara Yahudi itu. – AGENSI










