SHAH ALAM: Datang ke Malaysia untuk jadi orang gaji tetapi akhirnya terjerumus dengan kegiatan tidak bermoral atas nama ‘tukang urut’.
Demikian alasan yang diberikan salah seorang warga Thailand yang ditahan dalam satu operasi oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor dekat Bukit Rimau, Seksyen 32, di sini, malam tadi.
Wanita yang mahu dikenali sebagai Benjamas, 36, berkata ditawarkan pekerjaan sebagai pembantu rumah (orang gaji) oleh majikan sebelum tiba di negara ini pada awal bulan ini.
Bagaimanapun, dia mengaku bekerja di sini tanpa permit atau sebarang dokumen yang sah dan menerima pendapatan sekitar RM50 sehari.
“Saya datang sendirian, keluarga pun tak tahu yang saya kerja sebagai tukang urut. Ada pendapatan sekitar RM50 sehari, sebahagiannya dihantar ke kampung untuk menyara ibu bapa dan anak lelaki berusia 10 tahun.
“Bila kerja macam ini memang rasa macam kena ‘scam’, tetapi macam mana hendak lari, saya tak ada duit. Hendak kembali semula ke kampung di Chiang Mai pun perlukan belanja yang banyak,” katanya ketika ditemui dalam operasi tersebut.
Dalam operasi bermula pada pukul 8 malam itu, JIM menyerbu tiga premis rumah urut terletak di kawasan sama dan menemukan 11 wanita berusia 18 hingga 47 tahun yang terdiri daripada empat warga Thailand dan Myanmar, dua China dan seorang Vietnam.
Tinjauan Utusan Malaysia ketika operasi tersebut juga mendapati terdapat pemilik salah sebuah premis dipercayai dapat menghidu kehadiran penguat kuasa lebih awal apabila mengunci mangga pintu hadapan rumah kedai itu dan meninggalkan tiga pelanggan warga tempatan di dalamnya.
Sementara di premis berasingan, antara mereka ditahan sedang melayan lelaki ‘hidung belang’ seawal usia 17 tahun yang sedang leka menikmati kelembutan tangan tukang urut itu.
Selain memberikan khidmat tukang urut, ketiga-tiga premis itu turut menawarkan perkhidmatan seksual kepada pelanggan dengan bayaran serendah RM50 menerusi aplikasi Whatsapp dan Telegram.
Taktik yang digunakan peniaga adalah menghantar gambar-gambar tukang urut kepada pelanggan untuk dipilih dan tawaran perkhidmatan termasuk ‘hand job’.
Sementara itu, JIM Selangor dalam kenyataannya memaklumkan kesemua wanita ditahan itu didapati tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, pemegang kad yang tidak diiktiraf dan lain-lain kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
“Kesemua tahanan akan ditempatkan di Depoh Imigresen Semenyih bagi tujuan tahanan reman dan siasatan. Kes turut disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya. – UTUSAN










