SAUDARA PENGARANG,
SETIAP tahun kerajaan mengeluarkan subsidi bernilai berbilion ringgit untuk diberikan kepada seluruh rakyat. Pemberian subsidi ini diberi keutamaan kepada keluarga berpendapatan rendah (B40) dan golongan lain yang memerlukan.
Subsidi yang diberikan ini adalah hasil kutipan cukai dikenakan kepada rakyat dan ia dipulangkan kembali kepada rakyat yang memerlukan perhatian dan bantuan kerajaan.
Apa yang menjadi kerisauan dan kemusykilan saya selaku pembayar cukai setiap tahun adalah ke mana perginya kawalan ketat pegawai kerajaan dan penguat kuasa tempatan dalam memastikan subsidi ini tidak jatuh ke tangan orang asing atau bukan rakyat Malaysia?
Pelbagai maklumat telah dirakam dan dimuat naik ke dalam media sosial oleh masyarakat prihatin dengan harapan ada pegawai kerajaan yang peka mengenai apa yang berlaku di sekeliling mereka.
Tetapi amat mengecewakan apabila penjualan minyak bersubsidi seakan sudah tidak terkawal dan ada maklumat daripada warganet memaklumkan barang-barang subsidi ini diuruskan oleh warga asing.
Persoalan pertama saya, apakah kini di semua pasar raya besar dan kecil serta restoran makanan segera telah dibenarkan orang asing menjaga kaunter pembayaran dan kaunter hadapan? Sudahlah penguasaan bahasa Melayu tidak fasih dan kadang-kadang sehingga menaikkan kemarahan pelanggan bila perlu mengulang beberapa kali ketika memesan makanan.
Persoalan kedua, apakah minyak masak bersubsidi boleh dijual kepada rakyat asing atau kepada bukan warganegara? Apakah bekalan sudah mencukupi untuk keluarga B40 sehingga boleh dijual kepada warga asing?
Persoalan akhir saya, apakah minyak bersubsidi dan tong gas saiz subsidi boleh dijual pada kedai makanan segera dan restoran besar di Kuala Lumpur?
Apa sudah jadi dengan semua penguat kuasa kerajaan? Mustahil mereka tidak tahu apa yang berlaku? Kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) saya harap dapat bertindak segera ke atas isu ini.
Ini disebabkan berlaku ketirisan duit kerajaan hasil kutipan cukai daripada rakyat sudah disalahgunakan dan tidak diagihkan kepada golongan sasaran. Tumpukan juga kepada isu-isu ini kerana rakyat terkesan akibat ‘rompakan’ oleh warga asing ini.
Sudah berbuih dan kerap media massa dalam negara melaporkan isu ketirisan subsidi kerajaan ini, namun nampaknya semua agensi seakan menutup mata dan sekali sekala baharu ada tangkapan yang dibuat agar menampakkan penguat kuasa ada buat kerja. Memalukan dan amat menyedihkan.
Saranan saya, sudah sampai masa untuk kerajaan menggunakan anggota-anggota tentera bagi menjalankan tugas ini agar semua peniaga dan warga asing takut untuk terus menyamun subsidi kerajaan ini.
Tidak salah untuk kita menggerakkan sebahagian anggota keselamatan (tentera) yang boleh diharapkan dan amat tegas dalam menjalankan tugas.
Rompakan hasil subsidi kerajaan perlu dihapuskan dan anggota tentera boleh turut membantu jika penguat kuasa sedia ada tidak mencukupi untuk memantau kecurian subsidi ini.
Segeralah bertindak. Rakyat B40 dan berpendapatan sederhana (M40) sudah amat tertekan dengan keadaan ekonomi semasa, tetapi hak mereka untuk mendapatkan barangan keperluan bersubsidi telah diambil oleh rakyat asing dan restoran-restoran besar.
Tolonglah Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Bantulah rakyat Malaysia yang semakin tertekan.-UTUSAN
ZAUNAS
Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur