Asing peranan Peguam Negara, Pendakwa Raya bukti telus

Asing peranan Peguam Negara, Pendakwa Raya bukti telus

KEPUTUSAN dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi terhadap Ahmad Zahid Hamidi seolah mengiyakan wujudnya spekulasi terdapat pendakwaan terpilih terhadap ahli politik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya pada 4 September lalu memberi kesan besar terhadap perjuangan kami, Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW).

Keputusan ini seolah-olah mengabaikan usaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan hasil tungkus lumus pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyiasat secara terperinci bagi mendapatkan pelbagai bukti. Segala bukti berkaitan kes ini seperti terbuang begitu sahaja.

Keputusan kes itu membuka ruang mengiyakan wujudnya spekulasi terdapat pendakwaan terpilih terhadap ahli politik dan seringkali terlepas daripada pendakwaan.

Senario ‘mainan politik’ seolah-olah wujud dalam proses pendakwaan. Campur tangan kuasa eksekutif ataupun tangan ghaib lain memperlihatkan perjalanan kes tidak adil sehingga boleh mencemarkan maruah perundangan negara.

Justeru, MCW mendesak pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya perlu disegerakan untuk memastikan ketulusan serta kebebasan proses pendakwaan agar tidak dituduh mempunyai konflik kepentingan, berat sebelah atau bersifat politik.

Berdasarkan komitmen terpuji Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengamalkan antirasuah dan tata kelola terbaik, adalah wajar pengasingan kuasa ini dilaksanakan bagi membuktikan isu ini tidak berterusan dalam reformasi pentadbiran beliau walaupun prosesnya rumit serta melibatkan implikasi kewangan RM300 juta sekali pun.

Pengguguran kes-kes melibatkan orang politik mungkin ada merit tersendiri, namun ia akan tenggelam dalam kontroversi kerana percanggahan kepentingan dalam dwifungsi utama.

Peguam Negara yang dilantik oleh Perdana Menteri sebagai penasihat undang-undang dan juga sebagai Pendakwa Raya kepada kerajaan. Sebagai penasihat undang-undang kepada kerajaan dan Perdana Menteri, Peguam Negara tidak dapat tidak adalah orang Perdana Menteri. Persoalannya, bagaimana rakyat boleh memastikan Peguam Negara tidak memihak kepada orang-orang Perdana Menteri yang lain?

Justeru, MCW dan seluruh rakyat meminta para pegawai SPRM untuk terus teguh menjalankan tugas menyiasat orang politik walau apa pun rintangan dihadapi.

Buktikan komitmen dengan lebih berani menangkap dan menyiasat perasuah tanpa mengira kedudukan atau pilih bulu.-UTUSAN

JAIS ABDUL KARIM
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN