SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini, Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) menggesa pentadbiran Universiti Malaya (UM) memansuhkan polisi baki sifar yang baharu dilaksanakan kerana ia membebankan pelajar.
KMUM dalam kenyataannya mendakwa, menerusi polisi itu, pelajar diwajibkan membayar yuran penuh untuk mengaktifkan status mereka sebagai ‘pelajar aktif’ dalam pendaftaran kursus.
Pelajar yang tidak mampu menyelesaikan yuran mereka, tidak dapat mendaftar untuk kursus dan modul dalam semester akan datang.
Perubahan dasar ini, kata KMUM, berlaku secara mendadak tanpa sebarang notis terlebih dahulu oleh pentadbiran UM.
Saya ingin menyatakan solidariti bersama KMUM dan seluruh mahasiswa universiti itu dalam bantahan terhadap polisi terbabit yang boleh menjejaskan mereka dari keluarga marhaen dan tidak berkemampuan.
Hal ini kerana mahasiswa UM tidak lagi diberikan kelonggaran untuk membayar yuran sebelum peperiksaan akhir universiti, bahkan sebaliknya terpaksa membayarnya sebelum semester bermula.
Jika yuran tidak dibayar, status pelajar tidak akan aktif untuk semester berikutnya dan mahasiswa itu mungkin terpaksa menangguhkan tempoh pengajian.
Ini adalah polisi yang hanya menzalimi mahasiswa yang datang dari latar belakang tidak mewah.
Walaupun menurut pentadbiran UM, hanya empat peratus mahasiswa UM akan terjejas disebabkan polisi ini, ia masih bermakna sekurang-kurangnya 807 orang akan terjejas. Adakah pihak universiti menganggap mahasiswa sebanyak itu tidak bernilai?
Saya percaya tiada mahasiswa yang patut ditindas dengan polisi ini dan semua mahasiswa tidak kira bilangan patut mampu menghadiri kuliah tanpa tekanan disebabkan beban kewangan.
Sebagai universiti terbaik di negara ini, UM sepatutnya mengangkat mahasiswanya, bukan membebankan dengan isu wang. Saya menuntut UM supaya memansuhkan polisi terbabit. – UTUSAN
DANNY VILLENGUEZ MOHD. AMANI, Kuala Lumpur