Tram Sarong Budapest perkukuh hubungan budaya Malaysia-Hungary

Tram Sarong Budapest perkukuh hubungan budaya Malaysia-Hungary

KEDUTAAN Besar Malaysia di Hungary membawa kembali program ‘Tram Sarong Budapest’ di atas laluan ikonik Tram 2 di Budapest, Hungary.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kedutaan Besar Malaysia di Hungary membawa kembali program ‘Tram Sarong Budapest’ bagi edisi kedua pada 16 Mei baru-baru ini, sebagai usaha memperkukuh promosi budaya Malaysia di Hungary menerusi penganjuran unik di atas laluan ikonik Tram 2 di Budapest.

Program tersebut dihadiri oleh Duta Besar Malaysia di Hungary, Norafizan Mustaffa, yang turut bersama komuniti ekspatriat Malaysia termasuk pelajar yang sedang melanjutkan pengajian di beberapa universiti sekitar Budapest dan Debrecen.

Menurut Norafizan, seawal pagi, peserta berkumpul di Dataran Jászai Mari sebelum menaiki trem khas berwarna kuning yang dihiasi Jalur Gemilang. 

“Perjalanan tersebut menyusuri Sungai Danube, sekali gus menarik perhatian penduduk tempatan serta pelancong di sekitar laluan ikonik berkenaan.

“Program ini diinspirasikan daripada gerakan ‘Keretapi Sarong’ di Malaysia yang mengangkat pemakaian pakaian tradisional di ruang awam sebagai simbol perpaduan, identiti dan penghargaan terhadap warisan budaya pelbagai kaum,” katanya dalam kenyataan.

Sepanjang perjalanan, peserta mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti kebudayaan termasuk pameran fesyen sarung yang menampilkan pakaian tradisional dari pelbagai negeri di Malaysia, selain kuiz dan aktiviti interaktif bertemakan budaya, geografi serta makanan negara. 

Suasana di dalam trem turut dimeriahkan dengan alunan lagu rakyat tradisional ketika ia melalui mercu tanda utama Budapest seperti Bangunan Parlimen Hungary dan Jambatan Rantai.

Edisi kedua Tram Sarong Budapest ini terus mengukuhkan hubungan budaya antara Malaysia dan Hungary, selain menjadi platform yang merapatkan komuniti Malaysia di luar negara dengan masyarakat setempat melalui pendekatan yang lebih santai dan inklusif. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN