Untung bersih Ramssol naik 11 peratus pada suku pertama - Utusan Malaysia

Untung bersih Ramssol naik 11 peratus pada suku pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ramssol Group Berhad (Ramssol) merekodkan pertumbuhan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak 11 peratus kepada RM6.5 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 202, dipacu terutamanya oleh pertumbuhan lebih kukuh dalam segmen AutoTech dan AITech.

Bagi suku sama, penyedia penyelesaian sumber manusia dan teknologi itu merekodkan hasil sebanyak RM22.2 juta, meningkat 23 peratus berbanding suku sama tahun lalu, didorong pertumbuhan merentasi kebanyakan segmen perniagaan.

Mencerminkan momentum perniagaan AutoTech yang semakin berkembang, kumpulan berjaya melaksanakan penempatan 500 motosikal elektrik (EV) di Indonesia untuk sebuah syarikat superapp terkemuka, dengan penempatan tambahan kini sedang dirunding dan dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Prestasi memberangsangkan itu menyerlahkan keupayaan Ramssol yang semakin kukuh dalam menjana pendapatan daripada ekosistem penyelesaian berasaskan teknologi dan tonggak perniagaan strategiknya yang terus berkembang.

Kumpulan turut mendapat manfaat daripada peningkatan penggunaan penyelesaian pengurusan modal insan, platform digital dan teknologi di Malaysia serta peringkat serantau.

Pengarah Urusan Kumpulan Ramssol, Datuk Wira Ts. Cllement Tan berkata, suku pertama merupakan permulaan yang sangat baik bagi tahun ini dan mencerminkan kemajuan yang syarikat capai merentasi tonggak perniagaan utama.

“Kumpulan menjangkakan tonggak-tonggak ini akan terus mendapat momentum pada suku-suku akan datang apabila pelaburan, kerjasama strategik dan strategi ekosistem kami semakin matang.

“Tahun kewangan 2026 dijangka menjadi tahun penting buat Ramssol kerana banyak inisiatif strategik serta pelaburan yang kami laksanakan sejak beberapa tahun lalu mula diterjemahkan kepada hasil yang nyata.

“Kami yakin dapat mencatat lebih banyak perkembangan positif merentasi kebanyakan tonggak perniagaan utama kami dalam beberapa bulan akan datang,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kumpulan juga sedang mengusahakan beberapa inisiatif berskala besar di Malaysia dan rantau ini, dengan beberapa perkembangan menarik dijangka direalisasikan secara berperingkat.

“Ketika kami terus mengembangkan perniagaan berasaskan teknologi dan platform selain meningkatkan asas pendapatan berulang, kami percaya Ramssol berada pada kedudukan yang baik untuk memasuki fasa pertumbuhan seterusnya,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN