PETALING JAYA: Ikano Centres, sebahagian daripada Ikano Retail menandatangani perjanjian pembangunan bersama Welton Group of Companies bagi projek Habitation Plus+, sebuah pembangunan kediaman baharu di Johor Bahru, Johor.
Terletak dalam kawasan Tebrau yang dinamik, projek ini menandakan satu pencapaian penting dalam evolusi Ikano Centres melangkaui peruncitan, selaras dengan pengembangannya ke arah pembangunan bersepadu yang berorientasikan komuniti.
Projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan sebanyak RM600 juta ini merupakan kesinambungan strategi pengaktifan tanah jangka panjang Ikano Centres di Tebrau.
Pengarah Urusan Ikano Centres, Adrian Mirea berkata, sejak pembukaan IKEA Tebrau pada tahun 2017 dan Toppen Shopping Centre pada tahun 2019, syarikat terus meneroka pelbagai cara untuk mengembangkan destinasi ini.
Katanya, ini termasuk sepanjang tempoh pandemik, melalui inisiatif seperti pengembangan ruang runcit sebanyak 100,000 kaki persegi GLA tambahan, peningkatan keluasan sekitar 14 peratus serta penambahbaikan kemudahan akses melalui pembinaan tempat letak kereta bertingkat.
“Pelaburan ini mencerminkan komitmen jangka panjang syarikat dalam memperkukuh destinasi ini sebagai sebuah persekitaran yang meriah di mana orang ramai boleh tinggal, beriadah dan berhubung.
“Habitation Plus+ mewakili fasa seterusnya dalam perjalanan ini, melengkapkan ekosistem dengan kediaman yang disepadukan secara lancar dalam kehidupan seharian,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, dengan potensi pasaran yang kukuh dalam segmen kediaman mampu milik dan pertengahan yang terintegrasi dalam destinasi ini, projek ini memenuhi permintaan terhadap persekitaran kediaman yang mempunyai sambungan yang baik.
Menurut Ikano Centres, ini turut diperkukuhkan oleh rekod prestasi Welton Group of Companies dalam membangunkan projek kediaman berkualiti tinggi, termasuk Orion Residence di Bukit Bintang, Kuala Lumpur yang baru sahaja siap.
“Dengan menggabungkan elemen kehidupan, runcit dan rekreasi dalam satu ekosistem yang menyeluruh serta memanfaatkan kepakaran Welton dalam pembangunan kediaman, projek ini bertujuan untuk menyediakan kediaman masa hadapan yang memberi nilai jangka panjang.
“Habitation Plus+ akan merangkumi dua menara kediaman dengan kira-kira 1,230 unit,” jelasnya.
Jelasnya, direka untuk kehidupan moden dan pelbagai generasi, pembangunan ini menekankan perancangan ruang pintar serta susun atur yang praktikal.
“Diilhamkan oleh pendekatan reka bentuk fungsional IKEA, setiap kediaman direka agar fleksibel dan mampu menyesuaikan diri dengan keperluan gaya hidup yang sentiasa berubah,” katanya. –UTUSAN










